Air Mata Temani Pencarian Anak Dalam Timbusan Tanah

Keadaan rumah mangsa yang runtuh sehingga menyebabkan dua kanak-kanak maut tertimbus dan dua lagi terselamat dalam kejadian di kawasan setinggan berhampiran rumah pangsa.

KOTA KINABALU : Pilu ibu kehilangan anak tidak dapat disembunyikan, apatah lagi mengenang nasib anak kesayangan yang tertimbus dalam tanah runtuh yang meranapkan rumah mereka berhampiran Taman Elok Bukit Nenas di sini, kelmarin.

Dalam tragedi kira-kira 8 malam itu, dua kanak-kanak meninggal dunia iaitu Norain Julaziz, 11, dan sepupunya, Isa Sabri, 2.

Ibu Norain, Razma Botong, 36, berkata, dia tidak menyangka kehilangan anak bongsu itu yang sebelum ini tidak menunjukkan sebarang petanda bakal dijemput Ilahi.

Katanya, dia yang kebetulan pulang dari tempat kerja terkejut apabila melihat rumah keluarganya ranap akibat tanah runtuh berkenaan.

“Ketika kejadian, semua anak saya berada di rumah ibu bapa saya dan saya tidak sangka berlaku runtuhan sebegitu kerana kejadian ini tidak pernah berlaku sepanjang kami tinggal di sini.

“Saya terus bergegas mencari anak saya di dalam runtuhan itu dan Norain adalah mangsa terakhir ditemui daripada empat mangsa tertimbus.

“Anak saudara saya yang masih bayi adalah orang pertama ditemui, disusuli ibu bapanya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Menurutnya, Norain sempat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk mendapatkan rawatan dan ketika itu mereka berdoa supaya kanak-kanak berkenaan dapat diselamatkan.

“Namun anak saya disahkan sudah tiada ketika di hospital dan kini masih dalam proses pengurusan jenazah sebelum dikebumikan nanti.

“Urusan pengebumian akan diuruskan oleh bapa saya dan setakat ini kami belum dapat pastikan di mana kedua-dua jenazah iaitu anak saya dan anak saudara saya akan dikebumikan,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Botong Jaafar, 57, ketika kejadian mereka baru selesai makan malam dan cucunya sedang bermain di ruang tamu rumah.

“Tiba-tiba, saya terdengar bunyi yang kuat dari luar sebelum menyedari berlaku runtuhan yang menghempap ruang tamu rumah dan menyebabkan dua cucu saya tertimbus,” katanya.

Menurutnya, usaha mencari empat ahli keluarga yang tertimbus segera dilakukan sebelum dua ditemui selamat dan dua lagi meninggal dunia. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *