Titi Batang Paip Seberang Sungai Mansiang

Gambar tangkap layar menunjukkan penduduk dan pelajar sekolah menggadai nyawa meniti batang paip untuk menyeberangi sungai. – Video Tular

KOTA KINABALU : Kemudahan infrastruktur terhad menyebabkan ada murid dan pelajar yang menghuni Kampung Mansiang Baru, Keningau menyeberangi sungai dengan hanya meniti batang paip.

Dalam video tular di media sosial sejak semalam, kumpulan kanak-kanak itu kelihatan tidak teragak-agak untuk meniti batang paip merentasi Sungai Mansiang, malah berhati-hati ketika melangkah.

Bagi yang memandang, tindakan itu sudah tentu membahayakan, namun bagi penduduk kampung berkenaan, ia hanyalah cabaran kehidupan mereka di kawasan pedalaman yang kekurangan infrastruktur asas.

Kampung Mansiang terletak kira-kira 120 kilometer (km) dari sini berada di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid yang juga kawsan persempadanan baharu negeri dalam Parlimen Pensiangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tulid, Flovia Ng ketika mengulas perkara itu berkata, beliau sudah mendapatkan peruntukan bagi membina jambatan merentasi Sungai Mansiang di perkampungan berkenaan.

Katanya, peruntukan untuk membina jambatan itu diperoleh melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada 23 Jun lalu dan kini sedang dalam proses dokumentasi untuk cabutan tender.

Pada Januari lalu, katanya beliau ada melawat kampung berkenaan dan memberitahu penduduk bahawa kemungkinan menggunakan peruntukan khas Adun untuk pembinaan jambatan gantung.

Flovia yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berkata, situasi yang dilihat dalam video tular itu hanya berlaku ketika air sungai melimpah disebabkan hujan lebat.

“Sebelum ini ada ‘Low River Crossing’ merentasi Sungai Mansiang sebagai laluan penduduk untuk menyeberangi sungai yang airnya cetek ketika tahap normal. Cuma ia tidak dapat dilalui ketika banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kini menjadi keutamaannya untuk memastikan jambatan dibina segera dan memastikan kebajikan penduduk terpelihara.

Isu kesukaran perhubungan akibat ketiadaan jambatan atau jambatan usang di perkampungan sebelum ini dilaporkan di Nabawan, Sandakan dan Pitas.

Pada April lalu, di Nabawan, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nangkawangan dilaporkan terpaksa menggunakan rakit buluh dan kaedah ‘zip line’ menggunakan tong dram untuk menyeberangi sungai selepas jambatan rosak dihanyutkan arus deras ketika banjir awal tahun ini.

Bagaimanapun, tindakan sudah diambil untuk membina semula jambatan gantung yang hanyut itu. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *