Harapan Rakyat Baiki Jambatan Penduduk Kampung Pukat Dalam Tempoh Kurang Sebulan

TAWAU : Parti Harapan Rakyat Sabah (HARAPAN RAKYAT) terus komited menunaikan janji berkhidmat kepada rakyat di Kukusan dan kawasan sekitar.

Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah YB Rina Hj Jainal berkata, Ahad lalu, dia bersama team Pejabat ADUN N70 Kukusan dan HARAPAN RAKYAT berkesempatan meninjau kerja membaikpulih jambatan Cempaka di Kampung Pukat yang telah lama rosak.

Sebahagian daripada jambatan yang telah dibaik pulih

“Saya pernah datang ke sini untuk menyampaikan sumbangan bakul makanan selain berjumpa pengundi Kukusan di sini pada 26 Jun lalu.

“Antara keperluan mendesak penduduk di sini adalah membaik pulih jambatan kayu mereka yang rosak dan berbahaya khususnya kepada kanak-kanak.

“Saya sudah meninjau perkara tersebut dan alhamdulillah Presiden Parti Tan Sri Liew Yun Fah JP telah meluluskan peruntukkan hampir RM6,000 untuk pembelian kayu serta paku,” katanya.

Menurut Rina, tidak sampai sebulan, kerja baik pulih Jambatan Cempaka mula dilakukan membabitkan laluan sepanjang 180 meter.

“Semua kerja baik pulih dilakukan oleh penduduk kampung secara gotong Royong,” katanya.

Difahamkan, Jambatan Cempaka itu menjadi laluan utama kira-kira 24 keluarga di kampung berkenaan.

Dewi

Sementara itu, penduduk, Dewi Deppungen, 48, bersyukur kerana kesukaran penduduk selama ini berjaya mendapat perhatian dan diselesaikan HARAPAN RAKYAT.

“Sebelum ini, keadaan jambatan agak uzur dan sudah beberapa kali kes kanak-kanak terjatuh akibat lantai jambatan yang reput dan patah.

“Sudah lama kami memohon untuk diperbaiki, namun, hanya sebahagian kecil sahaja kayu yang ditukar,” katanya.

Asis

Tambah Dewi, sebagai ibu, dia tidak lagi berasa bimbang akan keselamatan kanak-kanak selepas jambatan berkenaan dibaik pulih.

Bagi Asis Damim, 44, kerja baik pulih jambatan dijangka siap sepenuhnya minggu depan.

“Ini kerana kami memanfaatkan masa cuti hujung minggu untuk bergotong royong membaik pulih jambatan ini.

“Terima kasih saya ucapkan kepada ADUN Kukusan dan HARAPAN RAKYAT kerana bertindak pantas menyelesaikan masalah yang selama ini membelenggu kami di sini,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *