Kim Swee Kecewa Embalo Belum Dapat Rentak

KOTA KINABALU : Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee agak kecewa dengan persembahan pemain import, Jose Embalo meskipun beliau diturunkan sebagai pemain gantian pada aksi suku akhir Piala FA menentang Selangor FC, di Stadium Likas, pada Sabtu.

Kim Swee berkata, beliau kecewa apabila Embalo masih lagi tercari-cari rentak ataupun corak permainan yang diinginkan.

“Dia harus cuba mengadaptasi dengan corak permainan kita walaupun beliau bermain di liga yang lebih baik sebelum ini tetapi corak permainan berbeza.

“Beliau (Embalo) perlu cuba mengikut apa yang kita biasa lakukan dan kita akan lihat selepas ini apa langkah seterusnya sama ada beliau diturunkan ataupun tidak,” katanya mengulas aksi Piala FA, malam tadi.

Dalam pada itu, Kim Swee turut kecewa selepas tewas pada aksi suku akhir Piala FA sekali gus terkeluar daripada saingan berkenaan.

Katanya, kecederaan pemain pertahanan Dominic Tan yang terpaksa dikeluarkan mengubah corak permainan.

Sementara itu, pengendali Selangor FC, Michael Feichtenbeiner berkata, pasukannya bermain dengan baik malam tadi dengan jaringan awal.

Dalam aksi suku akhir itu skuad ‘The Rhinos’ tumpas kepada Selangor FC 0-2.

The Red Giant tidak perlu menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Hyuri Henrique De Oliveira Costa berjaya meledak gol pada minit pertama permainan.

Skuad kendalian Kim Swee cuba bangkit menyamakan kedudukan namun serangan mereka gagal diterjemahkan kepada jaringan.

Selangor selepas ini akan menentang Terengganu FC pada 5 Ogos depan dalam aksi separuh akhir. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *