BEAUFORT: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan dikhuatiri jatuh sungai atau hilang di hutan selepas keluar dari rumah di Kampung Batu 66, di sini, hari ini.
Kanak-kanak terbabit, Jude Angel, hanya disedari hilang kira-kira jam 8.30 pagi tadi oleh neneknya apabila mendapati pintu rumah terbuka dan mangsa tidak ditemui di sekitar kawasan rumah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Muhammad Hasbullah Nenggok, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.19 pagi.
“Bapa mangsa memaklumkan, dia dan isteri pada ketika itu sedang berniaga di Tamu Beaufort dan anak mereka itu dijaga oleh mentuanya.
“Mentuanya hanya menyedari kanak-kanak itu tiada di rumah pada jam 11.19 pagi. Pakaian terakhir dipakai mangsa adalah baju berwarna putih dengan lambang kartun dan berseluar warna biru,” katanya.
Muhammad Hasbullah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada jam 12.30 tengah hari di sekitar tepi sungai dan kawasan kebun.
Beliau berkata, operasi SAR dipecahkan kepada tiga kumpulan, yang turut dianggotai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Beaufort dan penduduk kampung. – BH Online
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost