‘Projek IC’: Kit Siang Gesa Pairin Terus Terang Mengenai RCI

Lim Kit Siang mempersoalkan mengapa Joseph Pairin Kitingan, yang mempengerusikan jawatankuasa kerja RCI, tidak mendedahkan lebih 5,000 ‘halaman yang hilang’ daripada laporan RCI.

KUALA LUMPUR : Veteran DAP Lim Kit Siang menggesa bekas ketua menteri Sabah Joseph Pairin Kitingan menjawab mengenai peranannya sebagai pengerusi jawatankuasa kerja Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa dokumen di Sabah.

“Mengapa tiada siapa tahu apa yang jawatankuasa kerja itu buat? Apa yang dapat dicapai jawatankuasa diterajui Pairin itu?” soal Lim dalam kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Pairin, yang juga bekas presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak mendedahkan lebih 5,000 “halaman yang hilang” daripada laporan RCI itu.

“Tidakkah jawatankuasa kerja itu ada akses kepada 5,000 halaman yang hilang ini?

“Laporan RCI mengenai pendatang tanpa dokumen di Sabah ini sepatutnya menjadi laporan RCI paling tebal dalam sejarah negara, tetapi ia hanya mempunyai 368 halaman,” kata Lim.

Tambahnya, 5,000 halaman itu terdiri daripada memorandum, nota keterangan, akuan berkanun dan ekshibit yang membentuk “bahagian penting” laporan RCI.

Komen Lim ini datang ketika PBS dan pemimpin Barisan Nasional (BN) berterusan berbalah mengenai isu itu.

Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Maximus Ongkili mendakwa bahawa sebuah parti komponen BN telah memberi IC Malaysia kepada pendatang tanpa dokumen di Sabah untuk meraih undi mereka.

Tanpa menyebut namanya, presiden PBS itu berkata, penglibatan parti itu menggunakan pendatang tanpa dokumen untuk kepentingan politik telah dibuktikan oleh RCI. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *