Maximus Ongkili Letak Jawatan Presiden PBS Tiga Tahun Lagi Atau Lebih Awal

Maximus Ongkili (tengah) semasa simbolik perasmian Persidangan Agung Tahunan Pergerakan Wanita dan Pemuda PBS di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan presiden dalam tempoh tiga tahun atau lebih awal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu berkata, sepanjang tempoh itu, kepimpinan parti mempunyai masa yang mencukupi bagi mengenal pasti calon yang berkelayakan dan sesuai.

“Saya telah memberikan tempoh yang mencukupi kepada parti untuk mengenal pasti calon berpotensi untuk menerajui parti ini pada masa hadapan.

“Menerusi pemilihan parti yang berlangsung pada Khamis ini, ada kemungkinan calon berpotensi akan dikenal pasti.

“Saya memberi peluang kepada mereka membuktikan keupayaan dan kemampuan untuk memimpin parti ini pada masa akan datang,” katanya selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan Pergerakan Wanita dan Pemuda PBS ke-36 dan ke-37, hari ini.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata, beliau akan memegang jawatan Presiden sehingga kongres parti yang akan datang.

Namun, calon penggantinya akan dikenal pasti sebelum atau apabila tiba kongres yang akan datang.

Maximus mula menjadi ahli Parlimen di bawah payung PBS sejak 1995 dan mula menyandang jawatan sebagai Pemangku Presiden PBS pada 6 Januari 2017 sebelum mengambil alih jawatan tersebut secara rasmi pada Persidangan Agung Tahunan PBS pada November 2018. 

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *