TAWAU: Dua beranak rentung dalam kebakaran membabitkan lima rumah di Kampung Titingan Blok 3, di sini, tengah malam tadi.
Warga emas, Sadiah Jabar, 80, bersama anaknya, Kamisah Mapiasah, 49, maut selepas dipercayai terperangkap dalam insiden kira-kira jam 12.30 tengah malam itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius Stephen Jr, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.53 tengah malam sebelum sepasukan 18 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi.
Beliau berkata, kebakaran membabitkan tiga rumah papan yang musnah sepenuhnya, manakala dua kediaman lagi masing-masing terbakar 40 dan 60 peratus.https://bcb3d9e86fbc4f906df1aed1f50dc2fa.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html?n=0
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman api menggunakan sumber air jentera bersama bantuan Bomba Komuniti Sri Titingan 1, selain menggunakan pam angkut sumber air daripada Jabatan Air.
“Selepas api berjaya dipadamkan, hasil pemeriksaan bomba menemui dua mayat dalam keadaan rentung di tingkat bawah rumah terbabit,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Julius berkata, mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Punca kebakaran serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya sambil memaklumkan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.08 pagi tadi. – HMetro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost