BELURAN: Seorang kanak-kanak lelaki maut dalam satu nahas melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Telupid ke Beluran, pada Jumaat.
Dalam kejadian jam lebih kurang jam 3 petang itu, Muhammad Fahmi Hakimi, 4, meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di badan.
Manakala, bapa, ibu dan tiga beradik mangsa hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, sebelum kejadian kenderaan yang dinaiki mangsa bersama keluarganya sedang dalam perjalanan dari arah Ranau menuju ke Sandakan.
Menurutnya, kenderaan SUV jenis Toyota Prado dinaiki keluarga itu dipercayai telah terbabas ke kiri jalan ketika melalui satu jalan menuruni bukit.
“Siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku ketika cuaca mendung selepas hujan dan di kawasan jalan berselekoh menuruni bukit.
“Susulan kejadian, semua mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Telupid untuk rawatan lanjut sebelum mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
“Mangsa lain hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Kasim berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – AWANI
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost