TAWAU : ADUN Kukusan, Rina Jainal berkata, beliau meninggalkan Warisan kerana sukar membantu rakyat sebagai pembangkang, bukannya demi mendapat imbuhan.
“Jika mahukan imbuhan, sudah lama saya keluar Warisan dan menerima pelawaan daripada parti besar sebelum ini.
“Jika ada yang membuat tuduhan liar kononnya saya dibeli, dibayar atau diberikan imbuhan, itu pandangan mereka, saya tidak boleh menutup mulut semua orang,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Berita Harian.
Rina berkata, banyak keperluan rakyat di kawasannya tidak dapat dipenuhi akibat kekangan yang dihadapinya tanpa sokongan pihak berkuasa.
Katanya, pelbagai permohonan bantuan, pembinaan infrastruktur dan perkara lain tidak dapat dilakukannya.
Beliau mendakwa sudah puas berusaha, termasuk membuat permohonan di agensi kerajaan dan kenalan, tetapi terpaksa “diabaikan” disebabkan kekangan sebagai wakil rakyat pembangkang.
“Walaupun saya sering turun padang berjumpa penduduk di Kukusan, malah hingga ke Pulau Sebatik, Merotai, Kalabakan dan sebagainya, ia tetap terasa kosong apabila banyak keperluan rakyat sukar dipenuhi akibat kekangan yang ada.”
Justeru, beliau terpaksa membuat pertimbangan sukar dengan meninggalkan Warisan demi mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat.
Katanya, keputusan itu bukan dibuat dalam masa singkat, sebaliknya melalui banyak pertimbangan, termasuk mendengar pendapat pelbagai pihak.
Ahad lalu, Rina meninggalkan Warisan dan menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah yang mesra kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost