Hajiji Minta Penjawat Awam Bantu Kerajaan Bangunkan Sabah

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor

KOTA KINABALU, 10 Jun : Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor meminta penjawat awam di negeri ini supaya bersama-sama membantu kerajaan melaksanakan usaha pembangunan negeri khususnya melalui pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata sokongan dan kerjasama penjawat awam adalah penting bagi memastikan semua pelan pembangunan yang direncanakan kerajaan berjalan lancar demi manfaat rakyat.

“Sebenarnya masih banyak yang perlu kita lakukan. Saya gembira walaupun menghadapi cabaran akibat pandemik COVID-19, ekonomi Sabah kekal berdaya tahan. Ekonomi negeri berada di landasan yang betul dan ada tanda pemulihan.

“Di bawah pelaksanaan pelan pembangunan SMJ, Sabah mencatatkan pendapatan RM5.449 bilion pada 2021, tertinggi dalam rekod. Pelaburan utama dalam sektor pembuatan, pelancongan dan pertanian ini dijangka mewujudkan hampir 10,000 pekerjaan,” katanya.

Pelan SMJ yang dilancarkan Mac tahun lepas merupakan pelan pembangunan lima tahun Sabah dengan  menggariskan tiga teras utama iaitu pembangunan sektor ekonomi, modal insan dan kesejahteraan rakyat serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.

Sehubungan itu, Hajiji berharap semua penjawat awam terus memperkukuh semangat perpaduan, kekitaan dan setiakawan kerana pembangunan sukar direalisasi tanpa sokongan, komitmen serta kerjasama penjawat awam.

Beliau berkata kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan penjawat awam dan berusaha memenuhi keperluan golongan itu bagi membolehkan mereka selesa melaksanakan tugas. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *