Sabah Kemuka Cadangan Tambah Penerbangan Singapura Ke Tawau & Sandakan

Kredit: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah

TAWAU, 10 Jun : Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah akan mengemukakan cadangan kepada syarikat penerbangan Singapura dalam tempoh terdekat bagi menambah laluan ke bandar ini dan Sandakan.

Menterinya Datuk Jafry Ariffin berkata penerbangan terus ke Lapangan Terbang Tawau dan Sandakan akan membantu merancakkan semula sektor pelancongan Sabah.

Beliau berkata satu pertemuan bersama Menteri Kanan Singapura (Kementerian Ehwal Luar dan Kementerian Pembangunan Negara) Sim Ann telah diadakan semalam.

“Laluan penerbangan ini akan memudahkan pelancong luar untuk datang ke destinasi pelancongan yang menarik seperti Pulau Sipadan di Semporna, Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok di Sandakan dan banyak lagi.

“Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah sedang berusaha menarik penyertaan syarikat penerbangan Singapura untuk meluaskan penerbangannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya menerusi Lembaga Pelancongan Sabah kini menjalankan perniagaan ke perniagaan (B2B) dan perniagaan ke pengguna (B2C) dalam meningkatkan usaha promosi pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa datang ke Sabah. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *