PRU15 : DAP Tidak Ikhlas Bekerjasama Dengan Warisan

KOTA KINABALU, 9 Jun : Pelawaan DAP untuk bekerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah dibuat secara tidak ikhlas, kata Ketua Penerangan Warisan Datuk Awang Ahmad Sah Sahari.

Dalam kenyataannya hari ini Ahli Parlimen Petagas itu berkata dalam menghadapi PRU15, keikhlasan adalah suatu yang penting bagi Warisan, dalam mejalinkan sebarang kerjasama.

Beliau berpandangan ia suatu yang agak melucukan, apabila Setiausaha Agung parti itu Anthony Loke Siew Fook menyatakan bahawa DAP akan mempertahankan tiga kerusi Parlimen yang mereka menang di Sabah.

“…bukankah itu sudah meletakkan satu syarat (untuk kerjasama itu),” katanya.

Semalam Loke dilaporkan sebagai berkata kerjasama dengan Warisan untuk PRU15 berkemungkinan tidak berlaku, kerana tidak mendapat sambutan daripada parti itu dan menyatakan untuk bekerjasama, keikhlasan diperlukan daripada kedua-dua pihak.

Loke juga menafikan bahawa beliau angkuh apabila menyatakan bahawa DAP mahu mempertahankan kerusi Parlimen mereka pada PRU15, iaitu Kota Kinabalu, Tenom dan Sandakan.

Sementara itu, Awang Ahmad turut menemplak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang Phoong Jin Zhe kerana menuduh Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai seorang yang hipokrit.

“Ada beberapa contoh sikap hipokrit DAP yang perlu ditonjolkan. Satu yang paling ketara ialah keenganan mereka untuk melaksanakan tuntutan Sabah ke atas 40 peratus hasil yang dikutip kerajaan Persekutuan pada ketika (Pengerusi DAP) Lim Guang Eng menjadi Menteri Kewangan.

“Kini mereka telah memfailkan tindakan undang-undang bagi mendapatkan pengisytiharaan bahawa formula itu masih terpakai. Satu waktu yang amat tidak sesuai. Kenapa sekarang ini ketika mereka menjadi pembangkang dan pilihan raya semakin hampir?,” katanya.

Awang Ahmad berkata terdapat juga contoh lain kegagalan DAP melaksanakan janji mereka kepada rakyat, bukan sahaja di Sabah tetapi kepada seluruh negara.

Semalam Phoong yang juga Setiausaha DAP Sabah, menyelar Mohd Shafie Apdal kerana menuduh parti itu angkuh ketika berunding kemungkinan bekerjasama untuk PRU15, dengan menuduh presiden Warisan itu sebagai hipokrit.

Pada 3 Jun, 13 wakil rakyat Sabah dari Pakatan Harapan memfailkan tindakan undang-undang untuk mendapatkan pengisytiharaan mengenai 40 peratus hasil hak Sabah yang diperoleh kerajaan Persekutuan dari Sabah setiap tahun. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *