Jangan Hipokrit, DAP Sabah Beritahu Shafie

Setiausaha DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, presiden Warisan itu menolak cadangan ‘khemah besar’ pembangkang malah mengatakan PH Plus tidak wujud di Sabah.

KOTA KINABALU: Setiausaha DAP Sabah, Phoong Jin Zhe meminta Presiden Warisan, Shafie Apdal supaya tidak bersikap hipokrit berhubung usaha bagi membincangkan kerjasama antara dua parti berkenaan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, Shafie bersikap hipokrit dalam beberapa perkara termasuk mengenai keputusan DAP bagi mempertahankan tiga kerusi parlimennya iaitu di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tenom.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang berkata, adalah sangat tidak adil bagi Shafie untuk menuduh DAP sebagai angkuh dan hanya berkomunikasi secara satu hala sedangkan beliau sendiri yang menolak sebarang usaha bagi mewujudkan ‘khemah besar’ oleh Pakatan Harapan (PH).

“Beliau sendiri berulang kali menolak cadangan ‘khemah besar’ pembangkang malah mengatakan PH Plus telah tidak wujud di Sabah, jadi siapa yang bersikap ego dan angkuh sekarang?,” katanya dalam kenyataan.

Phoong berkata, sebelum ini beliau menyatakan di cawangan parti itu mahu memulakan kerjasama antara kedua-dua parti bagi memenuhi aspirasi rakyat.

“Ia sangat hipokrit apabila Shafie mengatakan ia ‘satu aliran trafik’ sedangkan beliau sendiri yang menolak kesemua peluang bagi membincangkan perkara ini dalam suasana saling menghormati,” katanya.

Terdahulu, Shafie dalam sidang medianya semalam berkata, DAP tidak seharusnya meletakkan syarat sekiranya mahu mengadakan perbincangan untuk bekerjasama pada PRU15.

“Ini aliran trafik sehala, nak bincang, bincanglah. Tetapi, ini ada letak syarat. Hanya boleh bincang kecuali penuhi kehendak mereka.

“Kita tidak boleh terlalu angkuh, tujuan kita nak menang. Maka, rundinglah macam dulu, sebelum kita berhadapan PRU14. Ketika itu, kita runding sebaik mungkin bukan hanya pembahagian kerusi tetapi hala tuju kerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menyatakan parti itu bersedia bertemu Shafie bagi membincangkan kerjasama politik antara mereka.

Loke bagaimanapun berkata, perbincangan yang dicadangkan itu haruslah diadakan dalam keadaan saling menghormati selain perlu memenuhi syarat minima DAP iaitu untuk mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi pada PRU14. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *