Warisan Terbuka Kerjasama Dengan PBS

KOTA BELUD: Parti Warisan (Warisan) menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi membentuk gabungan tempatan.

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, pimpinan di peringkat akar umbi telah menyuarakan tentang keperluan membentuk gabungan di peringkat tempatan.

“Pihak di peringkat akar umbi, bukan hanya suara daripada luar tetapi juga, suara dari parti kita tentang perlunya gabungan dengan parti tempatan.

“Antara yang saya lihat ialah PBS kerana saya tahu rakan-rakan kita, dahulu pun saya satu sekolah dengan Maximus (Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili) dan saya juga bersamanya dalam Kabinet dahulu.

“Disamping itu, saya kenal sebahagian pimpinan peringkat akar umbi (PBS), saya rasa kalau itu menjadi satu pilihan, tiada masalah untuk Warisan bekerjasama dengan PBS,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Kaamatan Warisan kelmarin.

Namun, pada masa sama, Warisan akan terus memberi fokus kepada usaha memperkukuhkan parti sendiri.

“Saya tidak kisah sama ada gabungan itu antara Warisan dan PBS tapi, kalau mereka tidak mahu terserah dengan mereka,” katanya.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, pada masa ini, beliau enggan mengulas tentang kemungkinan kerjasama dengan parti-parti lain. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *