Rina Dapat ‘Imbuhan’ Sebelum Umum Keluar Warisan, Dakwa Shafie

Shafie Apdal ketika berucap sempena majlis rumah terbuka kaamatan Warisan di Dewan Kadamaian Square, di Kota Belud,.

KOTA BELUD: Presiden Warisan Shafie Apdal mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan Rina Jainal menandatangani ‘satu dokumen’ sebelum beliau mengumumkan keluar daripada parti itu, hari ini.

Katanya, Rina juga telah menerima “imbuhan” seterusnya mendorong beliau mengumumkan keluar Warisan.

“Saya difahamkan dia (Rina) sudah tandatangan tapi tidak tahu apa dokumen itu.

“Tidak tahu berapa (imbuhan) dia dapat, tidak boleh elak,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas menghadiri majlis rumah terbuka Kaamatan Warisan di Dewan Kadamaian Square, dekat sini hari ini.

Shafie berkata, tindakan bekas naib ketua Wirawati Warisan itu tidak melemahkan parti berkenaan, terutama di kawasan Tawau dan Kalabakan.

“Kita masih mantap lagi di Tawau, Kalabakan. Berbagai langkah yang mereka lakukan untuk menekan, melemahkan Warisan, Warisan insyaallah masih kuat,” katanya.

Awal hari ini, Rina mengumumkan menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), dalam sidang media di sebuah hotel, di Kota Kinabalu.

Terdahulu, lima wakil rakyat Warisan bertindak keluar parti iaitu Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Yusof Yaacob (Sindumin); Ahli Parlimen Lahad Datu merangkap ADUN Segama, Mohamaddin Ketapi, Peter Anthony (Melalap) dan Nuil Juatim (Limbahau).

Sementara itu, Shafie berkata, Rina akan berdepan tindakan undang-undang yang sama seperti lima ADUN yang telah meninggalkan Warisan sebelum ini.

“Sebahagian mereka memang kita sudah bawa ke mahkamah, kita heret mereka oleh kerana perjanjian yang telah kita nyatakan kepada mereka, pengakuan mereka.

“Itu (bawa ke mahkamah) sememangnya akan menjadi satu tindakan yang kita lakukan,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *