Gabungan Rakyat Sabah Dilancar Secara Rasmi

Hajiji Noor (tiga kiri) bersama pemimpin-pemimpin komponen GRS semasa Majlis Pelancaran GRS di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang didaftarkan sebagai entiti politik baharu pada Mac lalu dilancarkan secara rasmi hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Ketua Menteri, yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

Pendaftaran GRS secara rasmi pada Mac lalu membabitkan empat parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Baru-baru ini, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) diterima masuk sebagai komponen GRS dan menjadikannya sebagai parti kelima menyertai gabungan politik berkenaan.

Pembentukan GRS bermula pada September 2020 iaitu semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi menentang parti kerajaan pada masa itu iaitu Warisan Plus yang merangkumi Parti Warisan Sabah (Warisan), Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Pada masa itu, GRS disertai oleh Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai oleh Bersatu, STAR, SAPP dan Barisan Nasional (BN) yang merangkumi UMNO, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta PBS.

GRS berjaya membentuk kerajaan setelah menang PRN Sabah dengan majoriti besar bagi menumbangkan kerajaan Warisan Plus.

Walau bagaimanapun, BN tidak menyertai gabungan itu apabila ia menjadi entiti politik rasmi pada Mac lalu. BN hanya menjadi rakan yang membentuk kerajaan negeri yang kini dikenali sebagai kerajaan GRS-BN.

Kini, kerajaan GRS-BN berada dalam keadaan selesa dengan 52 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas dan ADUN yang mesra kepada GRS-BN.

Blok pembangkang pada masa ini hanya mempunyai 26 kerusi DUN.

Sementara itu, satu kerusi DUN masih kekal kosong iaitu DUN Bugaya setelah penyandangnya Manis Muka Mohd. Darah meninggal dunia pada 17 November 2020 akibat penyakit buah pinggang. – Utusan Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *