Biar Rakyat Nilai Sendiri, Saya Akan Terus Berjuang, Kata Presiden KDM

Peter Anthony (berdiri tengah) disambut oleh para penyokongnya setibanya di KKIA dari Kuala Lumpur, hari ini.

KOTA KINABALU: Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Peter Anthony, menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sendiri berhubung sabitan bersalah oleh mahkamah ke atasnya semalam.

Beliau berkata, keputusan mahkamah itu juga tidak akan melemahkan semangatnya untuk terus berjuang membela nasib rakyat Sabah menerusi parti KDM yang baharu ditubuhkan.

“Semua orang tahu (kes mahkamah dihadapinya), biar rakyat menilai sendiri apa yang berlaku. Adakah kes ini merompak, adakah kes ini mencuri duit, adakah kes ini rasuah, kes ini mengakibatkan kerajaan kehilangan duit atau adakah UMS (Universiti Malaysia Sabah) hilang duit satu sen pun? Tidak.

“Tapi pada masa yang sama, ini tidak akan mendiamkan saya, memberhentikan segala perancangan atau jelajah saya untuk pergi ke kawasan bertemu penyokong saya, rakyat Sabah.

“Selagi saya masih mempunyai dua ‘step’ (peringkat) untuk rayuan. Selagi itu saya kena jadi presiden KDM, selagi itu saya akan menjadi wakil rakyat yang sah berlandaskan undang-undang. Jadi tiada apa yang ingin ditakutkan, kita akan terus berjuang menguatkan kedudukan Sabah,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dari Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu semalam, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 terhadap Peter selepas didapati bersalah memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Hakim Azura Alwi juga memerintahkan bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah itu menjalani hukuman penjara 15 bulan jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, hakim membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan semalam selesai, namun memerintahkan Peter membayar denda RM50,000.

Sementara itu, Peter berkata, dia menyerahkan kepada kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membuat keputusan berhubung permohonan KDM untuk menyertai gabungan berkenaan.

ADUN Melalap itu berkata, KDM buat masa ini juga belum merancang untuk menyertai mana-mana pakatan politik dan menegaskan parti itu tetap menyokong kerajaan sedia ada.

“Kami dijemput untuk majlis pelancaran GRS esok tapi terpulang kepada mereka untuk menerima kami atau tidak, yang pasti KDM akan teruskan perjuangan.

“Apa yang penting ketika ini ialah kita memberi sokongan kepada ketua menteri dan kerajaan sedia ada,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *