Kes Jenayah Di Sabah Meningkat 50% Sejak Sekatan Pergerakan Dilonggarkan – Polis

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah

KOTA KINABALU, 27 Mei :Jumlah kes jenayah di Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 50 peratus sejak sekatan pergerakan dilonggarkan awal April tahun ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah.

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah kes itu masih di tahap yang rendah berbanding dengan rekod kes sebelum pandemik COVID-19 menular ke Malaysia.

“Kadar kes masih dalam kawalan…kita melihat 50 peratus perbandingan kadar jenayah antara 2022 dan 2021, tetapi kalau kita buat perbandingan dengan tahun-tahun sebelum adanya COVID-19 kadar jenayah berkenaan adalah rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri acara Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan-Konstabel di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Katanya polis di seluruh Sabah akan sentiasa melakukan operasi dan pemantauan bagi pencegahan jenayah di kawasan masing-masing, sehubungan itu masyarakat tidak perlu takut dan risau kerana semua kawasan di negeri ini dalam keadaan terkawal.

Mengulas mengenai majlis berkenaan Idris berkata perbarisan tamat latihan itu dihadiri seramai 299 pelatih lelaki dari pelbagai daerah di seluruh Sabah. 

“Mereka juga berlatarbelakangkan pelbagai kelulusan akademik termasuklah Ijazah Sarjana Muda. Seramai 14 pelatih memiliki Ijazah, 45 pelatih memiliki Diploma, 67 pelatih memiliki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan selebihnya berkelulusan SPM. 

“Ini membuktikan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukanlah pilihan kerjaya yang terakhir bagi anak anak muda. Kesemua mereka mula menjalani latihan asas konstabel di Pusat Latihan Polis Kota Kinabalu, bermula pada 28 Nov 2021 dan tamat pada hari ini,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *