Tetak Rakan Sekampung, Ramlie Awang Diburu Polis

Suspek dipercayai terbabit kes tetak diburu polis. – Foto PDRM

KOTA MARUDU: Polis giat memburu lelaki tempatan yang menetak kenalannya di hadapan hotel di Langkon Commercial Centre di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, suspek dikenal pasti sebagai Ramlie Awang, 35, iaitu seorang kelindan lori dan dipercayai sudah melarikan diri ke luar daerah ini.

Katanya, siasatan turut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1953 dan Seksyen 15 Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah.

“Terdahulu, dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa berusia 26 tahun sedang makan bersama sepupunya di restoran berdekatan apabila dia melihat suspek di luar premis dan menghampirinya.

“Mangsa dikatakan menolak dagu suspek sebelum suspek membalas dengan mengambil sebilah parang yang disimpan di dalam kereta, menyebabkan mangsa melarikan diri.

“Suspek mengejar mangsa hingga di hadapan hotel dan menetak kepala mangsa dengan parang itu. Kejadian disaksikan sepupu mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zairolnizal berkata, sepupu mangsa cuba meleraikan pergaduhan dan merampas parang berkenaan, manakala suspek melarikan diri dengan Proton Saga bernombor pendaftaran palsu.

Katanya, mangsa dan suspek saling mengenali dan membesar bersama di Kampung Bengkongan di sini.

“Akibat tetakan, mangsa alami luka sepanjang 10 meter dan retak tengkorak di kiri kepala. Dia stabil dan dirawat di Hospital Kota Marudu,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat bagi membantu siasatan kes itu untuk menyalurkan kepada menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor Auther Alfonsus Sikuat di talian 016-8819315.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *