Sabah Tak Henti Eksport Ayam, Bekalan Masih Stabil, Kata Jeffrey

Timbalan Ketua Menteri Sabah Jeffrey Kitingan berkata, timbul kebimbangan harga ayam di negeri itu mungkin naik susulan bekalan daripada pembekal berkurangan ketika musim perayaan.

KOTA KINABALU: Sabah hanya akan menghentikan eksport bekalan ayam ke luar negara sekiranya bekalan tidak stabil, kata Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan.

Beliau, yang juga menteri perikanan dan pertanian negeri berkata, ketika ini bekalan ayam di Sabah masih mencukupi, namun timbul kebimbangan harga ayam mungkin naik berikutan bekalan daripada pembekal berkurangan ketika musim perayaan.

“Di Sabah, bekalan ayam kita masih cukup, jadi kesan kekurangan ayam itu tidak begitu ketara.

“Kalau (bekalan ayam) tidak cukup, kita kena ikut apa yang kerajaan persekutuan lakukan, setakat ini cukup,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Jeffrey berkata, tidak banyak pengusaha di Sabah yang mengeksport ayam ke luar negara, jadi pembekuan eksport yang akan berkuat kuasa pada bulan depan tidak menjejaskan keadaan di negeri itu.

“Apa yang membimbangkan pada masa ini adalah jika negara pengeksport ayam menghentikan eksport untuk kegunaan mereka sendiri tapi, saya harap ia tidak berlaku,” katanya.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya semalam, berkata, kerajaan akan menghentikan pengeksportan 3.6 juta ekor ayam selama sebulan berkuat kuasa 1 Jun ini.

Larangan itu dibuat sehingga harga dan pengeluaran ayam di dalam negara kembali stabil.

Mengulas lanjut, Jeffrey berkata, Sabah mengeluarkan sebanyak 6.6 juta kg ayam dan sebanyak 2.5 juta biji telur ayam dalam tempoh sehari.

“Sekiranya berlaku masalah kekurangan bekalan ayam, pengguna di negeri ini boleh beralih kepada bekalan ayam kampung, biarpun harganya lebih mahal,” katanya.

Dalam sidang media itu, beliau turut menggalakkan masyarakat di negeri itu untuk menghasilkan makanan sendiri dengan memelihara ayam. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *