KOTA KINABALU: Sabah akan dilanda “tsunami” PKR pada pilihan raya umum ke-16 (PRU16), kata naib presidennya, Rafizi Ramli, sambil merujuk kepada dirinya sebagai “pemimpin politik terbaik membuat ramalan”.
Beliau yang juga calon timbalan presiden itu, berkata PKR akan menang besar di negeri berkenaan, sekali gus menjadi parti terbesar di Sabah dalam pilihan raya itu.
Katanya, peluang untuk perkara berkenaan menjadi kenyataan pada PRU15 agak sukar memandangkan “gelombang” yang bakal dijelmakan PKR Sabah memerlukan masa sehingga lima tahun lagi.
“Lima tahun satu masa yang panjang dalam politik tapi percayalah, PKR Sabah akan menang besar dan menjadi parti terbesar pada PRU16.
“Mana-mana kerusi di Sabah yang kita telah menang, kita perlu pertahankan dan dalam masa sama kita perlu bertanding sebanyak mana kerusi yang boleh.
“PRU15 ini kita bertahan dulu, kalau kita menang itu satu bonus tapi kalau tidak menang, percayalah “tsunami” akan berlaku pada PRU16,” katanya dalam program yakini rakyat, di sini, hari ini.
Rafizi berkata, setakat ini beliau masih pemimpin politik terbaik dalam meramalkan keputusan pilihan raya.
“Saya seorang ‘businessman’, politik ini macam kita melabur dalam saham, masa harganya jatuh, itulah masa terbaik kita membuat pelaburan kerana apabila harganya melambung kita akan mendapat hasilnya, sikit-sikit lama jadi bukit.
“Kalau orang tanya saya macam mana kita boleh menang di Selangor, inilah caranya…kita bermula daripada bawah, sedikit demi sedikit,” katanya.
Pada pemilihan PKR akan datang, Rafizi berdepan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail bagi merebut jawatan nombor dua parti itu. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost