Jambatan Gantung Di Nabawan Putus, Menteri Tak Pasti Siapa Perlu Bertanggungjawab

Laporan lengkap daripada Jabatan Kerja Raya belum diterima, selain tidak pasti jambatan gantung di Nabawan, Sabah, di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri, kata Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof.

KUALA LUMPUR : Kementerian Kerja Raya tidak pasti sama ada jambatan gantung di Nabawan, Sabah, yang dikatakan terputus sejak Mac lalu, berada dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan atau negeri.

Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof berkata, jika jambatan itu di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan, ia sepatutnya sudah dibaiki selepas terputus akibat dilanda banjir.

Justeru katanya, beliau mengarahkan siasatan lanjut dijalankan berhubung isu berkenaan.

“Saya belum terima laporan lengkap daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan tidak pasti adakah jambatan itu di bawah tanggungjawab persekutuan atau kerajaan negeri Sabah,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Semalam, kira-kira 50 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Nangkawangan dan SK Layon, di Nabawan, dilaporkan menyeberang sungai menggunakan rakit atau ‘zip line’ untuk ke sekolah.

Mereka terpaksa bergadai nyawa kerana jambatan gantung yang menjadi penghubung utama penduduk terutama murid sekolah putus akibat dilanda banjir pada Mac lalu.

Semalam FMT melaporkan, jurucakap penduduk, Zazila Roslan, 30, berkata, jambatan gantung berkenaan hanyut dalam banjir besar di beberapa kawasan di Nabawan beberapa minggu lalu.

Katanya, beberapa lagi laluan, sama ada jambatan gantung atau jambatan konkrit untuk menyeberangi sungai, turut musnah akibat bencana alam itu.

Zazila berkata, dia dimaklumkan oleh wakil rakyat kawasan itu yang juga Ahli Parlimen Pensiangan Arthur Joseph Kurup, yang turun padang untuk meninjau masalah berkenaan telah berjanji untuk menyediakan bot bagi kegunaan penduduk, sementara menunggu pembinaan jambatan baharu.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini janji itu belum ditunaikan menyebabkan penduduk kampung terpaksa berakit untuk ke seberang sungai dan sekiranya aliran sungai deras, mereka akan menggunakan “zip line”. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *