Tiada Rumah Terbuka Hari Raya Negeri – KM Sabah

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah tidak akan menganjurkan rumah terbuka Hari Raya tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Bagaimanapun, Hajiji berkata, Kabinet negeri telah memutuskan hari ini untuk mengadakan jamuan “Majlis Ramah Mesra Aidilfitri” untuk 1,000 tetamu jemputan pada 7 Mei ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Beliau berkata acara itu hanya untuk tetamu yang diundang iaitu termasuk para pemimpin pembangkang.

“Istana Negeri juga tidak akan mengadakan rumah terbuka tetapi hanya jamuan untuk lebih kurang 100 orang tetamu jemputan,” katanya ketika majlis berbuka puasa bersama sekretariat Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) di kediaman rasminya Sri Gaya, di sini, hari ini.

Hajiji juga berkata jumlah kes harian COVID-19 yang kini menunjukkan trend penurunan adalah sesuatu yang menggembirakan.

Ketua Menteri itu turut menzahirkan penghargaan kepada sekretariat Hala Tuju SMJ di bawah Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Datuk Rosmadi Sulai kerana memastikan pelan tindakan pembangunan kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Barisan Nasional (BN) berjaya dilaksanakan.

Beliau berkata Hala Tuju SMJ 1.0 telah menerima pujian daripada beberapa pemimpin, termasuk bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *