Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah Beli Kereta RM300,000 Tunai, Kata Saksi

Lim Lam Beng ketika berada di luar kamar mahkamah.

KOTA KINABALU: Mahkamah Khas Rasuah hari ini, diberitahu tertuduh ketiga kes rasuah membabitkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Lim Lam Beng telah membeli sebuah kereta Toyota Land Cruiser “recond” berharga RM300,000 secara tunai.

Saksi ke-18 pendakwaan, Kong Hon Yin yang juga pengurus besar syarikat penjualan kereta Tibarat Sdn Bhd (TSB) berkata, Lim bersama seorang individu lain yang dikenali sebagai Dato Tony telah datang ke premis perniagaannya pada Feb 2015.

Katanya, Dato Tony terbabit kemudian mencadangkan kepada Lim yang juga bekas timbalan pengarah JANS agar membeli sebuah kereta jenis Toyota Land Cruiser dan berwarna putih.

“Pada mulanya, Lim hanya melihat-lihat saja semua kenderaan yang ada di dalam premis dan kemudiannya dia beredar.

“Bagaimanapun dua hari kemudian, dia (Lim) kembali (ke premis) dan bersetuju untuk membeli kereta yang dicadangkan Dato Tony iaitu Toyota Land Cruiser “recond” dengan nombor pendaftaran SAA929G.

“Dia bersetuju untuk beli, dan saya memberitahu Lim Lam Beng harga kereta itu RM300,000 dan dia bersetuju membelinya secara tunai,” katanya.

Kong berkata demikian ketika menjawab soalan peguam mewakili Lim iaitu Tan Hock Chuan menerusi kenyataan saksi, hari ini.

Saksi berusia 76 tahun itu berkata, Lim telah membayar wang pendahuluan sebanyak RM200,000 pada hari yang sama kerana ketika itu dokumentasi bagi kenderaan terbabit belum lengkap.

“Pada masa itu, kenderaan berkenaan juga masih belum diambilnya, dan pada keesokan harinya (10 Feb 2018), saya telah melengkapkan pembelian serta dokumentasi kereta itu, seterusnya pada hari sama juga, Lim telah datang ke premis saya untuk menyerahkan baki yang belum dibayar iaitu sebanyak RM100,000.

“Saya yakin kereta yang dibelinya itu adalah Toyota Land Cruiser berwarna putih dan nombor pendaftaran SAA929G telah dibeli oleh Lee dan pendaftaran juga dibuat atas namanya,” katanya.

Selain Lim, dua lagi tertuduh ialah bekas pengarah JANS Awang Mohd Tahir Mohd Talib dan isterinya Fauziah Piut.

Pada 29 Dis 2016, ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah terhadap 37 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM61.57 juta.

Semua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (a) dan Seksyen 4 (1) (b) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amlafta) 2001.

Selain Tan, sebagai peguam mewakili Lim dalam perbicaraan itu, Awang Tahir dan isterinya pula diwakili Marcel Jude.

Perbicaraan di hadapan hakim Abu Bakar Manat itu akan bersambung pada 17 hingga 19 Mei depan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *