Dahulu Senyap, Kini Tayang Wang KWSP

Kedai emas antara premis perniagaan paling ramai dikunjungi pelanggan terutama pencarum KWSP.

KUALA LUMPUR : Media sosial kini dipenuhi dengan pelbagai perkongsian daripada orang ramai yang teruja menunjukkan koleksi barangan yang di­beli menggunakan duit penge­luaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seba­nyak RM10,000.

Tidak cukup dengan perkongsian gambar-gambar pembelian, ada kalangan pencarum turut merakam video di luar pekara­ngan premis perniagaan dengan memaparkan beg kertas, harga serta pelekat jenama barang yang dibeli.

Tinjauan Kosmo! mendapati, tabiat menayang atau ‘show off’ barangan peribadi ini adalah melibatkan koleksi cincin emas, pakaian berjenama, beg tangan sehinggalah kepada pembelian kereta baharu.

Situasi tersebut dilihat semakin ketara sebaik pengeluaran wang caruman KWSP dikreditkan ke akaun pencarum sejak minggu lalu.

Menariknya, selain mengundang tanda suka dan pujian daripada kenalan serta saudara-mara, ada segelintir pengguna yang membangkitkan persoalan berhubung motif sebenar di sebalik amalan menunjuk kemewahan hasil duit KWSP.

Bagi seorang pekerja kilang, Nadirah Ibrahim, 38, adalah menjadi kepuasan buatnya apabila dapat membeli barangan berharga iaitu sebentuk cincin emas seberat kira-kira lapan gram meng­gunakan suku daripada duit pengeluaran khas.

Jelas Nadirah, niatnya bukan mahu menunjukkan mengenai kemewahan yang bersifat sementara itu, tetapi sekadar suka-suka untuk kepuasan diri.

ramai pengguna mengambil kesempatan membeli-belah sebaik menerima duit pengeluaran khas KWSP.  – Foto Hiasan

“Sekali-sekala dapat wang yang banyak, apa salahnya saya memuat naik barang yang dibeli menggunakan duit hasil penat lelah bekerja selama hampir 12 tahun.

“Tujuan saya menayang dua bentuk cincin pada harga RM2,400 dan RM2,600 hanya un­tuk mendapatkan pandangan daripada rakan-rakan lain untuk memilih mana yang sesuai,” kata­nya kepada Kosmo!.

Sementara itu, pekerja swasta, Hanif Ishak, 38, pula berpanda­ngan, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk memiliki sebuah kereta baharu berjenama Honda City dan peluang itu ha­dir apabila dia berjaya mengeluarkan wang caruman sebanyak RM10,000.

“Tidak salah rasanya saya me­muat naik rakaman video se­panjang berada di bilik pameran selain menayang setiap detik menerusi Insta Story dan status WhatsApp mengenai urusan.

“Ini cara saya meluahkan kegem­biraan yang terbuku di hati dan lega rasanya dapat mempamerkan apa yang dimiliki kepada umum.

“Biarlah mereka hendak kata apa pun, janji saya gembira dapat kereta baharu,” ujarnya.

Dalam pada itu, pegawai pemasaran, Aina Shamsul, 45, ber­kata, dia sedikitpun tidak mempedulikan segala cemuhan atau kritikan daripada kenalan setiap kali memuat naik gambar ketika membeli-belah di butik paka­i­an dan berbuka puasa di hotel menggunakan hasil duit caruman tersebut.

“Bangga dengan apa yang dimiliki. Bukan senang nak dapat keluar wang sebanyak itu. Hanya di media sosial tempat kami me­luahkan perasaan teruja ini.

“Bukan saya sahaja yang sebegitu (muat naik gambar), malah ramai lagi rakan yang berlumba-lumba mahu tunjuk barang yang dibeli mereka. Masing-masing guna saluran media sosial.

“Sejak minggu lalu, ramai ke­nalan turut menjadikan apli­ka­si WhatsApp sebagai tempat perkongsian gambar-gambar se­masa di butik pakaian, tayang beg kertas dari butik berjenama dan kepingan wang kertas berjumlah RM10,000,” jelasnya. – KOSMO

Sama-sama kita nantikan sidang media petang ini.Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *