KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman telah mengesan satu pautan palsu berkaitan cabutan bertuah yang kononnya dianjurkan Petronas.
Pengarah JSJK Mohd Kamarudin Md Din, berkata pautan yang ditularkan melalui aplikasi WhatsApp itu yang jika ditekan akan membawa pengguna ke laman web yang dipercayai sebagai ‘phishing website’.
“Setelah menekan pautan itu, pengguna akan diminta untuk menjawab empat soalan kaji selidik ringkas yang dipercayai direka bagi tujuan mendapatkan data pengguna (phishing),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kamarudin berkata, selepas selesai menjawab kesemua soalan, pengguna dikehendaki menghantar pautan itu kepada 20 orang yang lain dan semakan lanjut mendapati, laman sesawang berkenaan adalah palsu dan tiada sebarang kaitan dengan pihak Petronas.
Sebagai langkah pencegahan, Kamarudin menasihati orang ramai untuk tidak melayari kandungan laman sesawang berkenaan kerana dipercayai ia turut mengandungi ‘trojan/malware’ yang boleh membahayakan data yang tersimpan di peranti milik pengguna.
Bagi sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCD Scam Response Center dengan menelefon 03-26101559 atau 03-26101599. – BERNAMA
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost