KOTA KINABALU : Malaysia Airlines digesa memastikan penumpangnya mengetahui isu teknikal yang dihadapinya, selepas penerbangan MH2607 dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur didakwa berpatah balik di tengah jalan akibat masalah autopilot.
Penumpang, E Sivabalan berkata, mereka hanya dimaklumkan kapten selepas masalah itu diselesaikan dan pesawat terbabit sudah berpatah balik ke Kota Kinabalu.
“Kami sepatutnya diberitahu apa yang berlaku kerana kami membayar untuk penerbangan kami. Malaysia Airlines bertanggungjawab untuk memaklumkan penumpangnya,” katanya.
Sivabalan berkata, pesawat itu berlepas dari Kota Kinabalu kira-kira 4.30 petang semalam, tetapi beliau merasakan pesawat itu membuat pusingan U di tengah jalan.
Katanya, ia mendarat di Kota Kinabalu pada 6.15 petang.
Beliau berkata, ramai penumpang kecewa kerana keliru dan kurang penjelasan berhubung perkara itu, menyebabkan mereka terpaksa menaiki penerbangan seterusnya atau hari berikutnya.
Sivabalan berkata, beliau masih tidak tahu punca sebenar di sebalik pesawat itu berpatah balik.
Katanya, melalui perbincangan dengan kakitangan lapangan di Kota Kinabalu, beliau mendapati ia didakwa berpunca daripada masalah autopilot.
Beliau menggesa Malaysia Airlines lebih telus dan membangkitkan kejadian awal bulan ini, di mana sebuah pesawat dalam penerbangan ke Tawau terpaksa berpatah balik ke KLIA, selepas dilaporkan “menjunam” secara tiba-tiba.
Tiga penumpang membuat laporan polis meminta siasatan terperinci ke atas kejadian terdahulu.
FMT telah menghubungi Malaysia Airlines untuk mengulas. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost