Lebih 30% Harga Tiket Kapal Terbang Diturunkan

Isu harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak menjadi tajuk perbualan sejak kebelakangan ini apabila harga yang dipaparkan di laman web syarikat penerbangan dikatakan meningkat.

KUALA LUMPUR: Lebih 30% harga tiket penerbangan diturunkan susulan kesediaan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk bertolak ansur menurunkan kadar harganya pada musim perayaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Isham Ishak bagaimanapun berkata, suruhanjaya itu akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi melihat secara terperinci kadar perbandingan penurunan harga tiket penerbangan dalam masa terdekat.

“Ada yang mengatakan ia (tiket penerbangan) naik 70%, tetapi kita telah berjaya kurangkan banyak daripada kadar berkenaan, pagi ini pun apabila kita lihat, sudah ada penurunan.

“Ini kerana kita berjaya meningkatkan kekerapan penerbangan dengan cara ‘redeploy’ (menyusun semula pergerakan) kapal-kapal terbang supaya tumpuan diberikan kepada sektor (perayaan) ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penghantaran kakitangan Express Rail Link (ERL) ke ‘Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Line’ bagi menyokong operasi musim Haji 2022, di KL Sentral, hari ini.

Semalam Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan pengendali syarikat penerbangan agar tidak mengambil keuntungan secara berlebihan dengan menaikkan harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak terlalu tinggi pada musim perayaan ini.

Isu harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak menjadi perbualan hangat sejak kebelakangan ini apabila harga yang dipaparkan di laman web syarikat penerbangan dikatakan meningkat sehingga RM2,000 bagi penerbangan dua hala ke Sabah atau Sarawak, berbanding kebiasaan sekitar RM300 bagi perjalanan sama. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *