Jangan Guna Duit KWSP Untuk Berjudi

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Individu yang menerima kelulusan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diingatkan supaya tidak terjebak dengan sebarang aktiviti perjudian dalam talian.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, akan ada sindiket perjudian yang mengambil kesempatan terhadap individu yang membuat pengeluaran KWSP.

“Gunakan wang yang diperoleh bagi tujuan kebaikan dan jangan salah guna untuk aktiviti perjudian dalam talian.

“Mereka juga dinasihatkan untuk tidak terpengaruh dengan pinjaman wang tidak berlesen sehingga memberi kemudaratan,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dikreditkan secara berperingkat mulai hari ini.

KWSP dalam kenyataan dilaporkan berkata, sebanyak 5.3 juta permohonan untuk kemudahan Pengeluaran Khas diterima KWSP sejak dibuka pada 1 April hingga Khamis lalu, yang membabitkan amaun pengeluaran berjumlah RM40.1 bilion.

Menurut KWSP, jumlah permohonan itu merangkumi 44 peratus daripada 11.95 juta ahli yang layak membuat pengeluaran.

Ia membabitkan 55 peratus ahli B40 yang layak (berpendapatan kurang daripada RM1,700); 59 peratus ahli M40 (RM1,701 – RM4,900), dan 39 peratus ahli T20 (berpendapatan melebihi RM4,900) manakala sebanyak 29 peratus ahli tidak formal dan tidak aktif turut mengemukakan permohonan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *