Jeti Kampung Mutap : Penduduk Dakwa Tidak Guna Kayu Belian Sepenuhnya

Mohamad Nor Tambi menunjukkan jeti dari beranda rumahnya. – Foto Utusan Borneo

PENDUDUK Kampung Mutap, Miri, Sarawak mendakwa pembinaan jeti kayu melibatkan kos sehingga RM50,000 yang mengundang kritikan orang ramai tidak menggunakan kayu belian sepenuhnya seperti dinyatakan.

Menurut laporan Utusan Borneo, penduduk kampung, Mohamad Nor Tambi, 45, yang tinggal berdekatan jeti itu berkata, hanya bahagian binaan tangga dan tiang sahaja dipercayai menggunakan kayu belian manakala selebihnya menggunakan campuran kayu keras yang lain.

Dia tidak mempercayai jeti di hadapan rumahnya itu menelan kos sebanyak itu malahan katanya, ia tidak menjadi isu sekiranya kos hanya RM30,000 berdasarkan jeti yang telah siap tersebut.

Mohamad Nor berkata, dia juga terkejut kerana menurut hantaran Komunikasi Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, jeti tersebut dibina mengambil masa dua bulan untuk disiapkan.

“Jangankan netizen, saya sendiri pun mempersoalkan kos jeti ini. Pada mulanya saya tidak tahu mengapa jeti ini menjadi isu panas dan tular. Sehinggalah saya membaca di media sosial kos pembinaan berjumlah RM50,000.

“Saya berpendapat ia tidak menjadi isu sekiranya kos hanya RM30,000 berdasarkan (struktur) jeti yang sudah siap.

“Turut menjadi persoalan kepada kami projek ini dikatakan mengambil masa tiga bulan namun dua bulan siap awal daripada jadual sedangkan kontraktor hanya menyiapkan projek itu dalam tempoh tiga hari,” katanya pada Ahad.

Mohamad Nor dan penduduk di situ melahirkan rasa tidak puas hati dan perasaan ragu-ragu dengan keselamatan jeti tersebut. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *