Rundingan Dapatkan 40% Hasil Negeri Masih Diteruskan, Kata Hajiji

Hajiji Noor menyertai mesyuarat berkaitan MA63 yang dipengerusikan Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang video pada Khamis. – Foto JKM

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyambut baik kenaikan dalam pemberian khas oleh Putrajaya, tetapi ia tetap akan meneruskan tuntutan bagi mendapatkan 40% hasil negeri yang dikutip kerajaan pusat.

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata, rundingan bagi mendapatkan 40% hasil negeri itu, seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), masih diteruskan.

Beliau menyifatkan kenaikan 4.7 kali ganda pemberian khas kerajaan persekutuan kepada Sabah sebagai perkembangan positif dalam usaha mengembalikan hak negeri itu.

“Ia satu perkembangan yang baik bagi Sabah. Bagaimanapun, rundingan masih diteruskan untuk mendapatkan 40% hasil negeri seperti yang dipersetujui dalam MA63.

“Ini menunjukkan kerajaan pusat sedia mendengar permintaan kita. Ia petanda positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu susulan pengumuman beliau bersama Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob tengah hari tadi berhubung kata sepakat yang dicapai dalam perbincangan antara Putrajaya dan kerajaan negeri berhubung kajian semula pemberian khas Sabah.

Ismail dilaporkan berkata, jumlah itu akan meningkat setiap tahun dari 2023 hingga 2026, berdasarkan kadar yang dipersetujui Putrajaya dan kerajaan Sabah.

Pada 24 Mac lalu, Hajiji dilaporkan berkata, kerajaan Sabah tetap dengan pendirian untuk menuntut 40% hasil yang dikutip Putrajaya dari negeri itu, walaupun peruntukan mengenai perkara itu dinafikan kerajaan pusat.

Katanya, kerajaan negeri akan meneruskan rundingan berhubung perkara itu kerana ia menjadi asas tuntutan dalam MA63.

Dalam pada itu, Hajiji yang juga menteri kewangan negeri berkata, kenaikan pemberian khas daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta pada tahun ini memberi banyak manfaat kepada Sabah.

“Ia sudah pasti dapat membantu kita untuk melaksanakan agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

Pagi tadi, Hajiji menghadiri mesyuarat berkaitan MA63, khususnya mengenai pemberian khas yang dipengerusikan Ismail menerusi sidang video. Turut hadir Premier Sarawak, Abang Johari Openg.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *