Sabah Khuatir Kenaikan Harga Tiket Penerbangan Jejas Usaha Pulih Pelancongan

KOTA KINABALU : Kenaikan harga tiket penerbangan khususnya ke Sabah yang dilihat melonjak sehingga lima kali ganda ketika ini, dikhuatiri akan menjejaskan usaha memulihkan sektor pelancongan negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata pelancong antarabangsa mahupun domestik hanya boleh melawat Sabah melalui penerbangan dan sekiranya harga tiket tidak berpatutan dan melambung tinggi, ia akan menjejaskan jumlah kehadiran pelancong ke “Negeri Di Bawah Bayu” itu.

“Pintu sempadan negara telah dibuka pada 1 April lepas dan kita menjangkakan menerima kehadiran pelancong sekitar satu hingga 1.3 juta orang yang akan tiba dan melawat ke Sabah.

“Kita baharu sahaja terlepas daripada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan (situasi) ekonomi teruk (berikutan pandemik COVID-19), sekiranya harga tiket penerbangan dinaikkan, ini sudah tentu menjejaskan industri pelancongan dari segi kehadiran pelancong ke Sabah,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa anjuran kementeriannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Jafry berkata pihaknya menerima rungutan daripada rakyat negeri ini susulan kenaikan harga tiket tersebut kerana menyukarkan mereka untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri tahun ini.

“Sebagai contoh untuk hari ini sahaja, (harga tiket penerbangan) dari Kota Kinabalu ke Tawau mencecah sehingga RM1,300. Ini tidak masuk akal, terlampau tinggi, sedangkan biasanya (harga tiket) dalam RM100 ke RM300.

“Justeru, saya minta kepada pihak berkaitan untuk melihat perkara ini dan saya yakin kerajaan pada hari ini begitu mementingkan suara rakyat,” katanya.

Semalam, Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor dilaporkan berkata kerajaan Sabah mendesak Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pengangkutan untuk mencari jalan bagi mengurangkan harga tiket penerbangan tersebut.

Sementara itu, Jafry ketika diminta mengulas mengenai kenaikan Geran Khas Kerajaan Persekutuan untuk Sabah, berkata ia menunjukkan hubungan baik antara kedua-dua kerajaan dan beliau berharap peruntukan itu akan digunakan untuk memperkasakan lagi pembangunan di negeri ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dalam kenyataan bersama hari ini dilaporkan berkata pemberian geran khas baharu untuk Sabah meningkat 4.7 kali ganda iaitu daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *