Individu 60 Tahun Ke Atas Boleh Dapat Dos Penggalak Kedua, Kata KJ

Pengambilan dos penggalak kedua adalah pilihan bagi individu, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

KUALA LUMPUR : Individu berumur 60 tahun ke atas dengan komorbiditi berisiko tinggi boleh diberikan dos penggalak kedua, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, pemberian dos penggalak kedua boleh diberikan dengan selang masa sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan selepas tarikh dos penggalak pertama.

“Ini saya nak tegaskan bahawa ia tidak wajib, tetapi pilihan kepada mereka, individu 60 tahun ke atas ‘can go for second booster’.

“Kita akan umum bagaimana nak buat. Ini hanya ‘option’ (pilihan), tidaklah kita buat program seperti PICK dahulu,” katanya dalam sidang media khas di Parlimen, hari ini.

Katanya, saranan itu berdasarkan nasihat Panel Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) selepas mereka meneliti kajian saintifik, kajian kohort, serta amalan di negara lain.

Berdasarkan kajian, menunjukkan individu berumur 60 tahun ke atas dengan komorbiditi seperti penyakit paru-paru, jantung, buah pinggang, hati dan diabetes, berisiko lebih tinggi mendapat gejala serius dan kematian membabitkan Covid-19.

Sementara itu, Khairy berkata, golongan berusia 60 tahun ke atas yang tidak mempunyai komorbiditi juga boleh berbuat demikian, selepas mereka mendapat pandangan dari pengamal perubatan.

Manakala, individu berusia 12 tahun ke atas, yang mempunyai imunokompromi di tahap sederhana dan teruk boleh diberikan dos penggalak dengan selang masa sekurang-kurangnya 28 hari selepas tarikh dos kedua.

Mengulas lanjut, beliau berkata buat masa ini pihak kementerian menetapkan bahawa vaksin mRNA Comirnaty (Pfizer-BioNTech) merupakan vaksin disyorkan bagi dos penggalak kedua berdasarkan data saintifik yang tersedia.

Bagaimanapun, Khairy berkata, pelaksanaan syor terbaharu itu tidak akan menjejaskan status vaksinasi lengkap individu berisiko tinggi yang tidak mengambil dos penggalak kedua tersebut.

“KKM sedang mengemaskini Garis Panduan Klinikal yang akan memperincikan perlaksanaan dos penggalak dan dos penggalak kedua untuk dua golongan tersebut,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *