Hujan Lebat Akibatkan Banjir & Tanah Runtuh Di Tuaran

Antara kawasan dilanda banjir di Tuaran. – Foto Facebook Page SABAHitz On9 TV

TUARAN: Hujan lebat sejak beberapa hari lalu di Sabah mengakibatkan kejadian banjir dan tanah runtuh di beberapa kampung di daerah ini pagi ini.

Beberapa kawasan terjejas banjir, termasuk Kampung Bunga Tengilan, Kampung Bundung, Kampung Suang Bangau, Kampung Paruh, Kampung Tinuhan dan Pekan Tengilan.

Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, berkata jambatan lama Tamparuli juga ditenggelami air, menyebabkan jalan itu tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan pagi ini, manakala paras air Sungai Tuaran pada sebelah pagi pada aras waspada.

“Tiada pusat pemindahan dibuka setakat ini kerana keluarga terjejas banjir berpindah ke rumah keluarga lain. Cuaca pada pagi ini adalah baik,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Tuaran daerah berkeluasan 1,165 km persegi di pantai barat Sabah, terletak lebih 32 kilometer dari Kota Kinabalu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi, berkata hujan lebat juga menyebabkan lima rumah terjejas berikutan kejadian tanah runtuh di Skim Penempatan Telipok, di sini.

Beliau berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.59 pagi sebelum ke lokasi kejadian sejauh 26 kilometer dan setakat ini tiada mangsa terlibat dalam insiden berkenaan.

“Pemilik rumah yang terjejas telah diminta mengosongkan kediaman masing-masing kerana pergerakan tanah masih berlaku. Operasi ditamatkan jam 7.16 pagi tadi,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *