2 Lelaki Ditahan Guna Wang Palsu Beli Barang Di Tawau

Polis berkata, suspek menggunakan wang palsu membayar barang yang dibeli bagi mendapatkan baki wang tulen.

TAWAU: Dua lelaki ditahan kerana dipercayai menggunakan wang palsu untuk urusan jual beli di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, dua suspek berusia 21 dan 25 tahun itu ditahan di stesen minyak Petronas serta Batu 8 Jalan Apas, dekat sini.

Katanya, tangkapan dibuat berdasarkan aduan orang awam dan siasatan awal mendapati mereka mencari peluang bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu peniaga atau pekerja kedai.

Beliau berkata, antara modus operandi penjenayah terbabit ialah mengunjungi premis yang mempunyai ramai pelanggan kerana juruwang sibuk ketika itu.

“Kesibukan itu menyebabkan juruwang terlepas pandang untuk memeriksa wang palsu yang diberikan pelanggan.

“Taktik yang mereka guna adalah membayar barangan menggunakan wang kertas tulen diselitkan wang palsu dan sekiranya juruwang tidak berhati-hati, mereka akan menjadi mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Jasmin berkata, suspek dipercayai menggunakan wang kertas palsu RM100 di sebuah premis barang runcit di sini.

Katanya, suspek menggunakan wang palsu itu untuk membayar barang yang dibeli bagi mendapatkan baki wang tulen.

“Kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan lanjut beserta barang rampasan, iaitu sebuah kenderaan dan telefon bimbit.

“Turut dirampas sekeping wang kertas RM100 dan kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *