Contohi Negara Lain, Beri Dos Keempat, Kata Pakar Virologi

Kajian terbaru menunjukkan dos keempat vaksin Pfizer/BioNTech mengurangkan kadar jangkitan dalam kalangan warga emas, kata pakar virologi Kumitaa Theva Das.

KUALA LUMPUR : Ketika Kementerian Kesihatan mempertimbangkan pemberian dos penggalak kedua Covid-19 untuk mereka dengan sistem imuniti yang lemah, seorang pakar virologi menggesa supaya ia mencontohi negara yang menawarkan dos vaksin keempat untuk kumpulan berisiko tinggi.

Memetik kajian terbaru di Israel, Kumitaa Theva Das dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, tahap imuniti dalam kalangan warga emas akan menurun dalam tempoh beberapa bulan selepas dos ketiga dan suntikan penggalak tambahan diperlukan.

Kajian itu dijalankan antara 10 Jan dan 2 Mac ketika varian Omicron menjadi dominan. Didapati bahawa dos keempat vaksin Pfizer/BioNTech mengurangkan kadar jangkitan dalam kalangan individu berusia.

Kumitaa Theva Das.

Para penyelidik yang meneliti 1.3 juta individu berumur 60 tahun ke atas berkata, perlindungan terhadap penyakit teruk tidak berkurang dalam tempoh enam minggu selepas pemberian dos itu tetapi kajian susulan diperlukan untuk menilai perlindungan jangka panjangnya.

Satu lagi kajian di Israel pad Mac menunjukkan warga emas yang menerima dua dos penggalak vaksin Pfizer/BioNTech mempunyai kadar kematian 78% lebih rendah daripada mereka yang mendapat hanya satu suntikan.

“Orang muda dan sihat mungkin tidak mendapat banyak manfaat daripada dos keempat, tetapi ia akan memberi manfaat kepada orang tua dan mereka yang mempunyai komorbiditi,” kata Das kepada FMT.

“Kajian sama menunjukkan pengurangan kadar kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan warga emas yang menerima dos penggalak kedua.”

Azrul Mohd Khalib.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bahawa kementerian masih mempertimbangkan pemberian dos keempat vaksin Covid-19 kepada mereka yang berada dalam kategori terimunokompromi.

Manakala itu Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata, sekiranya kementerian memutuskan untuk memberi dos keempat, ia harus menjelaskan kepada orang ramai mengapa ia diperlukan.

Katanya, terpulang kepada orang ramai untuk memutuskan apakah yang terbaik untuk kepentingan mereka.

“Mereka tidak harus dipaksa atau ditekan supaya mengambil suntikan vaksin tambahan. Orang ramai mesti membuat keputusan secara bermaklumat mengenai perkara yang menjejaskan kesihatan mereka sendiri,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *