Warisan Sengaja Jauhkan Diri Daripada PH, Sedia Cari Rakan Kerjasama Lain, Kata Penganalisis

Seorang penganalisis berkata, agak sukar bagi Warisan memenangi banyak kerusi, khususnya di Sabah, sekiranya parti itu tidak bergabung tenaga dengan mana-mana parti pada PRU akan datang.

KOTA KINABALU: Penganalisis politik berpendapat, tindakan Warisan yang menimbulkan kemarahan Pakatan Harapan (PH) seolah-olah sengaja dilakukan bagi membolehkan mereka menjauhkan diri daripada gabungan berkenaan.

Awang Azman Pawi.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata, Warisan kini dilihat lebih bersedia untuk mencari gabungan lain selain PH untuk bekerjasama pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Tindakan Warisan menerima dua bekas wakil DAP menyebabkan hubungan dua parti itu semakin buruk, begitu juga tindakan Warisan bertanding di kawasan PH pada pilihan raya negeri (PRN) Johor lalu.

“Ia seolah-olah sengaja dilakukan bagi memastikan kemarahan pihak PH dan membolehkan Warisan serta Pejuang bertanding dalam blok sendiri.

“Ini bermakna Warisan dilihat lebih bersedia untuk mencari gabungan lain selain PH untuk bekerjasama pada PRU akan datang,” katanya kepada FMT.

Katanya, agak sukar bagi Warisan memenangi banyak kerusi, khususnya di Sabah, sekiranya mereka tidak bergabung tenaga dengan mana-mana parti pada PRU akan datang.

“Warisan sukar memenangi banyak kerusi (jika bergerak solo) kerana musuhnya di Sabah akan pastikan mereka kalah teruk.

Tony Paridi Bagang.

“Parti itu juga mungkin menganggap mereka terlalu kuat hingga cuba melebarkan sayap di Semenanjung manakala di Sabah pula mereka kurang fokus kerana mengejar kerusi di Semenanjung,” katanya.

Sementara itu, Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut berpendapat bahawa Warisan akan berdepan kesukaran jika tidak bekerjasama dengan parti atau pakatan politik lain.

Bagaimanapun katanya, Warisan pasti akan mencari atau membentuk kerjasama politik menjelang PRU nanti.

“Dalam PRU nanti sudah pasti matlamat utamanya untuk menang dan seterusnya berharap untuk membentuk kerajaan. Namun jika bersandarkan kepada satu parti sahaja ia agak mustahil.

“Seperti sebelum ini, kerjasama politik pasti berlaku. Dalam kes Warisan, ia pasti mencari dan membentuk kerjasama strategik dengan mana-mana pakatan politik sama ada dengan PH atau sebaliknya,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *