Tiada Rahsia Berhubung Formula Baharu Pendapatan Sabah, Kata Jeffrey

Presiden STAR Jeffrey Kitingan, berkata Azis Jamman daripada Warisan “sengaja mencetuskan drama”.

KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Sabah menolak dakwaan Ahli Parlimen daripada Warisan yang mengatakan kerajaan persekutuan secara rahsia meminda peraturan perlembagaan berhubung formula perkongsian cukai ke atas hasil persekutuan yang dikutip dari negeri ini.

Presiden STAR Jeffrey Kitingan yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata semakan formula asal dibuat pada 1970 mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Tiada rahsia di sebalik perintah pindaan. Ia diterbitkan dalam warta rasmi kerajaan. Ia bukannya cubaan tersembunyi oleh kerajaan persekutuan bagi meminda Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, dua Ahli Parlimen daripada Warisan, Azis Jamman (Sepanggar) dan Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), didakwa “sengaja mencetuskan drama” dengan membuat tuduhan terhadap kerajaan persekutuan, semalam, kerana mendakwa mengubah secara tidak berperlembagaan berhubung formula perkongsian cukai dan secara rahsia menyembunyikan perkara itu sejak 1970.

Azis berkata, beliau mendapati kerajaan persekutuan dan kerajaan Sabah bersetuju untuk menyemak geran mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, menjadikan formula asal mengikut Perkara 112C terbatal.

‘RM20 juta dipersetujui pada 1969’

Kitingan berkata, pada 1969, pendapatan bersih Sabah, berdasarkan formula 40%, adalah kira-kira RM22 juta apabila semakan dilakukan, dan sejumlah RM20 juta dipersetujui sebagai geran tahunan kerajaan persekutuan, dengan peningkatan 7.5% setahun.

Bagaimanapun, selepas 48 tahun, jumlah yang sepatutnya diberikan adalah jauh lebih tinggi berbanding RM26.7 juta, yang mana Sabah menerimanya setiap tahun.

“Inilah sebabnya kerajaan Gabungan Rakyat Sabah menolak geran khas persekutuan berjumlah RM52 juta yang dipersetujui kerajaan Pakatan Harapan-Warisan,” katanya.

“Sekiranya, kita bersetuju, ini bermakna kita menerima bahawa kerajaan persekutuan boleh membayar sejumlah kecil, sambil mendakwa mereka sudah menunaikan kewajipan mereka,” kata Kitingan.

Semakan rasmi perkongsian hasil

Beliau berkata, kerajaan Sabah hari ini, menuntut semakan rasmi secara tersusun berbanding semakan secara ‘ad-hoc’ atau bergantung kepada arahan eksekutif daripada Perdana Menteri.

“Semakan ini adalah mandatori menurut perlembagaan. Ia mesti diadakan antara dua kerajaan ini berbanding menerusi jawatankuasa perundingan bersama. Ia mesti dilaksanakan antara ketua kerajaan, bukannya ahli dari beberapa jawatankuasa. Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah mesti hadir di meja rundingan.

“Kami menuntut semakan kewangan yang dibayar secara penuh mengikut formula perkongsian 40% yang dikutip dari Sabah, dan tunggakan berdasarkan kenaikan tahunan 7.5% sejak 1974.”

Kitingan berkata, jumlah itu termasuk faedah kompaun, berjumlah kira-kira RM1 bilion, manakala “pembayaran penuh perkongsian pendapatan 40% mungkin bernilai berbilion”.

Beliau berkata, partinya tidak akan teragak-agak menyokong Warisan sekiranya terbukti kerajaan persekutuan cuba menceroboh hak Sabah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *