Seramai 485,939 Pengundi Baharu Berusia 18 Tahun Adalah Warga Sabah

KOTA KINABALU : Seramai 485,939 orang daripada 5.7 juta pemilih baharu berumur 18 tahun dari seluruh negara yang telah didaftarkan adalah warga Sabah berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) pertama diwartakan pada 14 Jan lepas, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkara pertambahan ini menjadikan jumlah pemilih berdaftar keseluruhan di Sabah meningkat daripada 1,184,415 orang sebelum ini kepada 1,670,354 orang.

Hajiji berkata pertambahan jumlah pemilih ini sudah tentu akan memberikan kesan kepada pertambahan jumlah pemilih di setiap Dewan Undangan Negeri.

“Saya percaya semua wakil rakyat berbesar hati menerima pertambahan jumlah pemilih (berumur 18 tahun) kerana ia telah diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 16 dan 25 Julai 2019 lalu,” katanya pada Sesi Libat Urus Pelaksanaan Umur Kelayakan Mengundi 18 Tahun dan Pendaftaran Pemilih Secara Automatik di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya.

Hajiji berkata, pertambahan jumlah pengundi ini juga sudah pasti menjadikan tanggungjawab wakil rakyat semakin lebih besar.

“Justeru, saya meminta kepada semua wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar terus berusaha untuk mendekati pengundi muda di kawasan masing-masing dan perbanyakan aktiviti bersama golongan muda, yang akan memberi manfaat kepada mereka,” tambahnya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *