Kerajaan Sabah Cari Mekanisme Terbaik Bantu Mangsa Kebakaran Secara Berkesan

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin

TAWAU, 22 Mac : Kerajaan Sabah akan mencari mekanisme terbaik bagi memastikan mangsa kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, di sini pada Khamis lepas, mendapat bantuan secara lebih berkesan terutama dari segi tempat tinggal dengan penyediaan kawasan baharu untuk mendirikan rumah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata perkara itu akan dibincangkan bersama Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor, bagi membolehkan mangsa kebakaran membina hidup baharu bersama keluarga mereka secepat mungkin.

“Kebakaran (di Kampung Kurnia Jaya) baru-baru ini cukup besar, saya melihat sudah tiba masa kerajaan negeri mencari hala tuju baharu bagi memastikan mangsa yang ditimpa musibah ini mempunyai tempat untuk mereka berteduh.

“Selain itu, saya akan bawa isu mendesak pembinaan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR), termasuk keperluan membina semula rumah di tapak kebakaran dalam mesyuarat kabinet akan datang, kerana pembinaan PPR ini juga memerlukan tanah,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, melahirkan rasa sedih dan simpati dengan tragedi kebakaran yang memusnahkan ratusan rumah di kawasan penempatan atas air itu, pada Khamis lepas.

Sehubungan itu, katanya UMNO Sabah telah menyalurkan bantuan kemanusiaan sebanyak RM500, kepada setiap 670 keluarga mangsa yang terjejas.

“Bantuan ini diharap dapat meringankan beban mangsa kebakaran tersebut, dan akan diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Majlis Perbandaran Tawau.

“Saya difahamkan jumlah keluarga terjejas dijangka meningkat, kerana proses pendaftaran mangsa masih dijalankan. Pihak Baitulmal juga akan datang memberi bantuan kepada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, mangsa kebakaran Malina Abdul Hali, 37, bersyukur dengan bantuan kewangan yang diberikan UMNO Sabah, dan berharap kerajaan dapat menyediakan bantuan PPR demi kelangsungan hidupnya sekeluarga.

“Sekarang ini saya masih tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS), tetapi selepas ini terpaksa juga mencari rumah sewa. Saya berharap ada bantuan rumah kerana tidak mampu untuk bina semula, memandangkan suami cuma bekerja di kilang kaca dengan gaji RM1,000 sebulan,” katanya ketika ditemui Bernama.

Nasir Misil, 58, yang juga seorang imam masjid di Kampung Kurnia Jaya, pula berharap kerajaan membenarkan pembinaan semula rumah di tapak kebakaran tersebut.

“Saya sudah 31 tahun tinggal di sana dan apabila rumah musnah terbakar terpaksa berlindung di PPS Dewan Sri Balung di sini, saya tidak tahu mahu tinggal di mana lagi selepas ini,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *