Dapatkah Warisan, DAP Perbaiki Hubungan Sebelum PRU15?

Pada satu ketika, Warisan dan DAP seolah-olah tidak dapat dipisahkan, dengan DAP Sabah malah bersetuju menggunakan logo Warisan pada PRN 2020.

KOTA KINABALU: Keretakan kini muncul dalam hubungan Warisan dan DAP yang pernah menjadi sekutu politik yang menggerunkan, selepas parti pimpinan Shafie Apdal itu melebarkan sayapnya ke Semenanjung.

Kedua-dua parti itu seolah-olah tidak dapat dipisahkan pada satu ketika, dengan DAP Sabah malah bersetuju menggunakan logo Warisan pada pilihan raya negeri (PRN) 2020.

Namun, hubungan mereka berantakan selepas langkah Warisan merentasi Laut China Selatan menyaksikan ia merekrut pemimpin dan ahli DAP.

Perkara ini diburukkan lagi apabila Warisan bertanding di kawasan Pakatan Harapan (PH) pada PRN Johor baru-baru ini.

Naib Presiden Warisan Junz Wong mengakui hubungan itu mula retak sejak PH menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Putrajaya di belakangnya.

Bekas menteri Sabah itu berkata, pemeteraian MoU itu, yang berulang kali dikritik dan dibantah oleh Warisan sebelum ini, seolah-olah seperti PH mengambil pendirian menyokong kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

“Namun, saya rasa hubungan (antara Warisan dan DAP) masih wujud kerana saya tidak lihat mereka sebagai musuh,” katanya kepada FMT.

Wong berkata, Warisan akan mengadakan mesyuarat penting untuk merancang strategi pilihan raya mulai minggu ini. Antara topik yang menjadi agenda adalah perpaduan pembangkang.

Setiausaha DAP Sabah Phoong Jin Zhe mengakui bahawa hubungan antara kedua-dua parti bukan dalam keadaan terbaik sekarang, terutamanya selepas PRN Johor.

“Namun persoalannya, adakah kita masih berkawan? Saya harus akui, wujud beberapa perbezaan pada masa ini, seperti laluan masa depan yang harus kita usahakan bersama pada pilihan raya akan datang,” katanya kepada FMT.

Katanya, punca utama komunikasi antara kedua-dua parti gagal adalah kerana Warisan, walaupun menggembar-gemburkan dirinya sebagai alternatif, tidak dapat memberi justifikasi mengapa ia bersaing di kerusi yang ditandingi PH di Johor.

Warisan meletakkan calon di kerusi Mahkota, Bekok, Pekan Nanas, Permas, Johor Jaya dan Bukit Batu, yang dimenangi PH pada pilihan raya umum 2018 (PRU14).

“Mereka perlu bertanding di kawasan Umno untuk mewajarkan menjadi pilihan baharu kepada rakyat. Mengapa mereka tumpu semua sumber untuk melawan kami?” soal Phoong.

Katanya, beliau “jujurnya bimbang” kedua-dua parti tidak lagi sefahaman pada pilihan raya, tetapi berfikiran optimis mereka boleh mencapai persefahaman seperti sebelum PRU14.

“Tiada sebab kami tidak dapat melakukannya lagi. Kita perlu mengetepikan perbezaan tertentu untuk mencapai matlamat yang lebih besar,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *