Sindiket Seludup Dadah Guna Kurier Di Sabah Tumpas

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah, Lam Thiam Huat menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Penampang dan Tenom baru-baru ini. – Foto PDRM

KOTA KINABALU: Satu sindiket pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier tumpas dengan penahanan dua individu dan rampasan syabu seberat 10.06kg bernilai hampir RM400,000.

Kejayaan itu hasil serbuan di beberapa lokasi di Penampang dan Tenom oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Ketua JSJN Sabah, Lam Thiam Huat berkata, dalam serbuan pertama pada 12.30 tengah hari 10 Mac lalu, seorang lelaki warga asing berusia 29 tahun ditahan di depan sebuah rumah di Cyber City, di sini.

Katanya, berlaku sedikit pergelutan ketika anggotanya menahan suspek yang sedang memunggah sebuah kotak.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kotak terbabit mengandungi 6.03kg syabu yang dianggarkan bernilai RM240,000. Soal siasat lanjut kemudiannya membawa pasukan polis ke rumah sewa suspek di Penampang kira-kira 6.30 petang hari sama.

“Polis kemudian merampas 3.02kg syabu bernilai RM120,000 dalam rumah berkenaan dan turut merampas pasport milik suspek,” katanya dalam sidang media di IPK Sabah hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Penampang, Mohd Haris Ibrahim.

Beliau berkata, suspek turut mendedahkan satu lagi bungkusan akan tiba di Tenom tiga hari kemudian, sebelum polis menyerbu sebuah syarikat kurier di Tenom kira-kira 2.15 petang 14 Mac lalu.

Foto PDRM

Hasil serbuan itu, polis merampas sebuah kotak yang dituntut suspek dan menemui 1.017kg syabu bernilai RM36,000.

“Polis juga giat bekerjasama dengan syarikat kurier berikutan pengedaran dadah menggunakan kurier dilihat menjadi modus operandi oleh pengedar.

“Tangkapan dan rampasan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan, boleh membawa kepada hukuman mati mandatori.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *