Permohonan Pengeluaran Khas RM10,000 KWSP Bermula 1 April, Bayaran Mulai 20 April

Pengeluaran khas KWSP bermatlamat membantu Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi.

KUALA LUMPUR: Permohonan untuk pengeluaran khas RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dibuka kepada ahli di bawah umur 55 tahun akan bermula 1 April ini dan berakhir pada hujung bulan depan.

KWSP dalam satu kenyataan berkata, tempoh pembayaran akan dilaksanakan sebelum 20 April 2022.

“Ahli dibenarkan untuk mengeluarkan jumlah maksimum sebanyak RM10,000 dan minimum RM50, selain perlu mengeluarkan baki simpanan dalam Akaun 2 mereka dahulu sebelum mengakses simpanan dalam Akaun 1.

“Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Kerajaan hari ini membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata walaupun keputusan itu sukar dibuat kerana membabitkan simpanan hari tua rakyat, namun pengeluaran khas itu adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

“Berdasarkan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik ini, ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

“Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP,” katanya pada sidang media khas, di sini hari ini. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *