Balu Ketua Menteri Pertama Sabah Meninggal Dunia

Rahimah Stephens meninggal dunia akibat serangan jantung.

KOTA KINABALU: Balu bekas Ketua Menteri dan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Mohd Fuad Stephens, Rahimah Stephens, meninggal dunia, pagi tadi.

Perkara itu disahkan anaknya, Faridah Stephens ketika dihubungi hari ini.

Katanya, ibunya yang berusia 92 tahun itu meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menunggu rawatan di hospital swasta selepas terjatuh hujung minggu lalu.

Faridah berkata, seorang pakar bedah sepatutnya tiba hari ini untuk memberi nasihat mengenai rawatan lanjut.

“Malangnya dia mengalami serangan jantung pada awal pagi,” katanya.

Rahimah dilahirkan pada 22 Oktober 1930 di Beaufort, Sabah dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kiulu, Tuaran, Sabah.

Pada 2011, beliau dinobatkan sebagai “Tokoh Mubarak 2011” sempena perhimpunan agung tahunan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) ke-8 di Kota Kinabalu.

Pada 1961, beliau menjadi ketua Wanita parti UNKO (kemudian dinamakan UPKO) yang ditubuhkan oleh suaminya.

Rahimah kemudian menjadi ketua Wanita parti Berjaya dan wakil rakyat Kiulu setelah menang dalam pilihan raya kecil Sabah.

Pada 17 Julai 1976, beliau dilantik sebagai Menteri Kebajikan dalam Kerajaan Negeri Sabah.

Beliau adalah wanita pertama dilantik sebagai menteri dalam kerajaan negeri Sabah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *