Anifah Salahkan Thomas, Shafie ‘Kurang Pengalaman’ Dalam Pertikaian Sulu

Bekas Menteri Luar, Anifah Aman berkata, Shafie Apdal dan Tommy Thomas perlu belajar menangani hubungan diplomatik.

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Luar, Anifah Aman menyalahkan bekas Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal dan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas yang kurang pengalaman dalam mencetuskan masalah kepada negara berhubung pertikaian mengenai kedaulatan Sabah.

Anifah berkata, Shafie yang kurang pengalaman dan pengetahuan mendorong Filipina menjadi lebih berani melakukan tuntutan terhadap Sabah dua tahun lalu.

Beliau juga mengkritik Shafie bertindak “melulu” dengan mengakui dakwaan itu secara tidak langsung, apabila Shafie berkata beliau mahu mengadakan perbincangan dan rundingan dengan Filipina.

“Pendekatan saya, yang sentiasa merupakan pendekatan betul, adalah tidak mengiktiraf sebarang tuntutan,” katanya yang juga Menteri Luar dari 2009 hingga 2018, ketika beliau bersama Umno. Beliau kini ialah Presiden Parti Cinta Sabah.

Katanya, tindakan Shafie menunjukkan kejahilannya mengenai sejarah Malaysia dan undang-undang antarabangsa.

Anifah berkata, beliau cuba menasihati Shafie, yang tidak dinamakannya dalam kenyataannya, untuk belajar memahami bahasa hubungan diplomatik, termasuk menangani hubungan antarabangsa, bagi mengelak kesilapan lain membabitkan kedaulatan Sabah pada masa depan.

“Nasihat ini juga terpakai kepada Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas.”

Katanya, Thomas tidak memikirkan kesan surat ditulis kepada peguam mewakili keturunan bekas Sultan Sulu, yang memfailkan tuntutan terhadap “wang penyerahan” – bayaran RM5,300 setahun, di mana mereka mendakwa bayaran itu dihentikan kerajaan Malaysia.

Surat berkenaan menjadi kontroversi minggu lalu, selepas laporan mahkamah timbang tara Perancis mengarah kerajaan membayar USD14.9 bilion (RM62 bilion) kepada keturunan Sultan Sulu terakhir.

Awal hari ini, bekas Perdana Menteri, Najib Razak mengkritik surat “luar biasa bodoh” itu digunakan peguam United Kingdom (UK) pada minggu lalu untuk menyangkal pendirian Peguam Negara hari ini bahawa identiti waris terbabit diragui.

“Sebab ini isu berat, saya nak tanya pemimpin kerajaan dahulu termasuk Mahathir (Mohamad), (Lim) Guan Eng dan Muhyiddin (Yassin), adakah surat yang luar biasa bodoh ini diluluskan Jemaah Menteri masa itu ataupun ianya hanya surat daripada Tommy sebagai Peguam Negara sahaja,” soalnya di Facebook.

Kerajaan dilaporkan berkata, keputusan timbang tara itu tidak diiktiraf.

Jabatan Peguam Negara pula berkata, tindakan itu dipindahkan ke mahkamah Perancis selepas Mahkamah Tinggi Sepanyol membatalkan timbang tara terdahulu. Jabatan itu berkata, ia akan berusaha untuk membatalkan keputusan Perancis itu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *