Penyeludup Rokok Semakin Ganas, Rempuh Kenderaan Polis

Rokok seludup disembunyikan di bawah pelepah kelapa sawit oleh suspek. – Gambar PGA Sabah

LAHAD DATU: Bimbang dicekup, seorang penyeludup bertindak agresif merempuh kenderaan dinaiki sekumpulan anggota Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam kejadian di Kampung Betik, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, suspek berjaya meloloskan diri namun pacuan empat roda jenis Toyota Hilux Rocco digunakannya ditemukan bersama pelbagai rokok seludup dianggarkan bernilai RM110,208.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, ketika menjalankan Ops Kontraban, anggota pasukan khas Batalion 17 PGA mengekori kenderaan dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan dari Kampung Betik ke Kampung Jawa.

Katanya, anggota kemudian menggunakan siren polis untuk mengarahkan pemandu itu berhenti namun lelaki terbabit merempuh sebelah kiri kenderaan pasukan hingga kemek sebelum memecut kenderaannya itu ke arah Kampung Kenangan.

“Pasukan khas terus mengejar suspek secara tiba-tiba lelaki itu menghentikan kenderaannya. Ia menyebabkan kenderaan pasukan PGA terlanggar bahagian belakang kenderaan suspek dan mengalami kerosakan serta tidak dapat dihidupkan semula.

“Suspek kemudian dilihat menghala ke ladang kelapa sawit berdekatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, pemeriksaan lanjut pihaknya dalam kawasan ladang sawit berkenaan menemukan kenderaan dinaiki suspek itu.

“Suspek berjaya melarikan diri dan pemeriksaan lanjut menemukan bungkusan plastik hitam berisi rokok seludup pelbagai jenama.

“Semua rokok itu disembunyikan di bahagian belakang kenderaan dan di bawah pelepah kelapa sawit berhampiran kenderaan suspek,” katanya.

Katanya, rokok dirampas bernilai RM110,208 dan keseluruhan rampasan termasuk kenderaan berjumlah RM230,208.

“Semua rampasan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya. Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *