Pembukaan Sempadan: Sabah Tunggu SOP Lebih Terperinci

Masidi Manjun

KOTA KINABALU : Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Sabah akan menunggu prosedur operasi standard (SOP) lebih terperinci diumumkan, sebelum membuat sebarang cadangan berkaitan pembukaan sempadan negara oleh Kerajaan Persekutuan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata setelah SOP terperinci mengenai pembukaan sempadan negara dimumkan, jawatankuasa itu akan membuat perbincangan dengan pihak berkaitan dan akan membuat penyesuaian mengikut keperluan di Sabah.

“Mungkin perlu ada sedikit penambahbaikan SOP bagi Sabah dengan mengambil kira negeri ini menerima ramai pelawat yang datang dengan bot daripada dua negara jiran, yakni dari Filipina dan Indonesia.

“Apapun Sabah mahu memastikan setiap pelawat antarabangsa yang datang ke negeri ini sudah lengkap divaksin dan menerima dos penggalak,” katanya yang juga Jurucakap COVID-19 Sabah ketika dihubungi Bernama malam ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan sempadan negara akan dibuka semula pada 1 April ini, selari dengan perancangan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata pihaknya menyokong pembukaan sempadan itu, namun langkah pembukaan itu perlu diikuti dengan SOP yang lebih ketat, bagi mengekang penularan varian baru COVID-19 iaitu Omicron.

Beliau berkata SOP yang ketat itu perlu diperincikan dengan lebih jelas kepada pemain industri pelancongan, bagi memastikan mereka bersedia sebelum pembukaan sempadan negara dibuka nanti.

Katanya pembukaan sempadan itu juga penting memandangkan Sabah memerlukan pasaran antarabangsa untuk memulihkan sektor pelancongan, dan kementeriannya bersedia untuk mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak termasuk pemain industri, dalam membuat persediaan awal.

“Matlamat kita sekarang ini adalah mahu membuka sempadan supaya industri pelancongan akan terus hidup, dalam masa sama memastikan agar penularan COVID-19 dapat dikawal,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *