Polis Buru Suspek Lepaskan Tembakan Di Tongod

Gambar Hiasan

KINABATANGAN, 8 Mac : Polis sedang mengesan suspek yang telah melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kecederaan pada dua pekerja Ladang Fargold di Tongod pada Sabtu (5 Mac) lepas.

Ketua Polis Kinabatangan Supt Dzulbahrin Ismail berkata kejadian itu berlaku kira-kira 8 malam ketika kedua-dua pekerja itu sedang melakukan rondaan di ladang tersebut. 

“Semasa kedua-dua mangsa sedang dalam tugas meronda ladang, tiba-tiba satu tembakan telah dilepaskan dari sisi sebelah kanan mangsa tanpa mangsa melihat kelibat suspek.

“Salah seorang mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan perut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dzulbahrin berkata mereka kini dirawat di Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan dalam keadaan stabil.

Katanya operasi mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960.

“Pihak polis mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Pusat Kawalan Daerah Kinabatangan di talian 089-561890 atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Insp Anestassia Chin Fat di talian 014-6708309,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *