Hampir Semua Murid Hadir Ke Sekolah Tanpa Penggiliran 21 Mac

KPM berharap ibu bapa, murid, guru dan warga pendidikan bersama memastikan segala SOP dapat dipatuhi dengan baik supaya sesi persekolahan berlangsung dengan selamat.

KUALA LUMPUR: Pengoperasian sekolah penggal satu bagi sesi akademik 2022/2023 yang bermula 21 Mac ini adalah lebih terbuka dengan hampir keseluruhan murid akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran, kata Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin.

Beliau menerusi satu video dikongsi di Facebook hari ini berkata, namun begitu Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memantau keadaan semasa untuk memastikan dan menetapkan bila tarikh bagi murid yang hadir ke sekolah secara penggiliran dapat hadir ke sekolah secara tanpa penggiliran.

“Apabila sekolah dibuka kelak kami di KPM berharap ibu bapa, murid, guru dan warga pendidikan dapat bersama memastikan segala prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi dengan baik supaya sesi persekolahan berlangsung dengan selamat dan teratur,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya ibu bapa atau penjaga memilih untuk tidak menghantar anak masing-masing ke sekolah apabila sekolah dibuka pada 21 Mac, ketidakhadiran itu tidak akan dianggap sebagai satu kesalahan disiplin tetapi ketidakhadiran murid perlu dimaklumkan kepada pihak sekolah untuk tujuan rekod.

Mengulas pengoperasian sekolah rendah apabila penggal persekolahan dibuka pada 21 Mac, Radzi berkata bagi sekolah rendah dengan enrolmen murid kurang daripada 600 orang, semua murid sekolah rendah harian dan sekolah rendah swasta termasuk sekolah ekspatriat dan sekolah antarabangsa akan hadir tanpa penggiliran.

“Sekolah rendah swasta termasuk sekolah ekspatriat dan sekolah antarabangsa dengan enrolmen melebihi 600 murid boleh mengemukakan permohonan kepada KPM untuk beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Radzi berkata, bagi sekolah rendah dengan enrolmen murid melebihi 600 orang, murid yang akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran ialah murid berkeperluan khas (MBK), Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), murid prasekolah, murid Tahun 1, 2 dan 6 serta semua murid penerima Rancangan Makanan Tambahan.

“Bagi Tahun 3, 4 dan 5, murid ini akan hadir secara penggiliran. Ketetapan ini turut terpakai untuk sekolah swasta, sekolah ekspatriat dan sekolah antarabangsa yang setara,” katanya.

Beliau berkata, ujian saringan kendiri Covid-19 yang perlu dijalani 10% murid sekolah rendah dilaksanakan pada penggal persekolahan sebelum ini dikekalkan apabila sesi dibuka pada 21 Mac ini dan KPM akan membekalkan test kit kepada murid untuk ujian di rumah dan laporkan keputusan ujian kepada sekolah.

Pelajar sekolah menengah

Menurut Radzi, mulai 21 Mac apabila semester atau penggal persekolahan baharu bermula, pelajar di sekolah menengah akan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) untuk tempoh dua minggu dari 21 Mac hingga 4 April seterusnya hadir ke sekolah secara bersemuka bermula 4 April kecuali sekolah berasrama penuh.

Semua pelajar sekolah menengah akan masuk ke sekolah tanpa penggiliran. Ini termasuk pelajar berkeperluan khas, kelas peralihan, Tingkatan 1 hingga 6, prauniversiti, International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) dan pelajar peperiksaan antarabangsa yang setara, katanya.

Radzi berkata, untuk sekolah menengah berasrama penuh, murid yang akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran adalah pelajar Tingkatan 2 hingga 6, prauniversiti, IBDP serta peperiksaan setara yang lain dan mereka akan dibenarkan masuk ke asrama mulai 4 April.

Beliau berkata, pelajar Tingkatan 1 yang berjaya memasuki sekolah berasrama, boleh memilih sama ada menjalani PdPR atau menumpang di sekolah harian yang berdekatan kediaman sehingga tarikh kemasukan ke sekolah berasrama diumumkan KPM.

Menurutnya, bagi sekolah swasta berasrama yang mempunyai kapasiti untuk urus keseluruhan pelajar, sekolah berkenaan boleh beroperasi sepenuhnya termasuk pelajar baharu Tingkatan 1.

Menyentuh mengenai pakaian seragam sekolah, Radzi berkata KPM menggalakkan murid memakai seragam sekolah namun bagi mereka yang mempunyai halangan, KPM juga membenarkan murid untuk hadir ke sekolah dengan pakaian yang sopan dan bersesuaian.

Katanya, sesi persekolahan bagi kolej vokasional akan berlangsung tanpa penggiliran mengikut takwim pengajian akademik masing-masing termasuk penuntut Sijil Vokasional Malaysia dan Diploma Vokasional Malaysia.

Beliau berkata, bagi kolej matrikulasi semua penuntut akan hadir tanpa penggiliran mengikut takwim akademik masing-masing. Bagi sistem empat semester yang akan hadir ialah penuntut semester dua dan semester empat manakala bagi sistem dua semester, ia melibatkan penuntut semester dua.

Menurutnya, bagi Institut Pendidikan Guru (IPG), kehadiran adalah tanpa penggiliran mengikut takwim kalendar akademik.

Ia meliputi pelajar lima program iaitu Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan, Ijazah Sarjana Muda Perguruan, Diploma Pascasiswazah Pendidikan, Diploma Perguruan Malaysia dan Program Intervensi Tambah Opsyen. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *